Thursday, April 2, 2009

NAK SENANG BUKAN SENANG TAPI NAK SUSAH BUKAN SUSAH



Tahniah diucapkan kepada adik Nik Nur Madihah, Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A iaitu 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan pendidikan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang daripada seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan berakhlak mulia.

Adik Nik Nur Madihah memberitahu kepada media bahawa beliau mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Pada hemat saya beliau bukan riak tetapi beliau ingin memberitahu kepada semua bahawa ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhankan aqal semata-mata (mereka adalah kumpulan sekular) sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya. Namun sangkaan tersebut telah dibuktikan tidak benar apabila adik Nik Nur Madihah menjelaskan antara tips kejayaan beliau ialah sentiasa puasa sunat Isnin dan Khamis.

Beliau juga membuktikan tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.

Inilah kejayaan dan kecemerlangan yang sebenar. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik tetapi menyecewakan dari segi akhlak dan moral. Selain itu kisah adik Nik Nur Madihah juga membuktikan kemiskinan dan kesusahan bukanlah penghalang daripada memperolehi kejayaan

CITA-CITA SAYA
Saya bukanlah pelajar cemerlang seperti adik Nik Nur Madihah tetapi saya pelajar biasa sahaja. Namun saya dapat mencapai kejayaan yang tidak seberapa ini kerana usaha dan azam yang bersungguh-sungguh. Saya masih ingat bagaimana semasa saya belajar di Maahad Mahmud dan di Universiti Malaya dahulu.

Memang menjadi cita-cita saya untuk mendalami ilmu Islam. Saya masih ingat saya ditawarkan memasuki kelas sains tulen di tingkatan 4 selepas saya mendapat keputusan cemerlang di dalam PMR tetapi saya menolak tawaran tersebut hanya semata-mata minat saya yang begitu mendalam kepada bidang agama. Kawan-kawan saya berlumba-lumba memohon memasuki kelas sains tulen pada waktu itu. Disebabkan saingan yang begitu sengit hanya pelajar yang mendapat 6A ke atas sahaja akan dipertimbangkan untuk memasuki aliran sains tulen. Aliran sains tulen mendapat tempat di hati pelajar kerana profesion doktor merupakan cita-cita kebanyakan rakan-rakan saya pada waktu itu.

Saya belajar di Tingkatan 4 Ekonomi. Matlamat saya jelas ingin mendalami ilmu agama sedalam-dalamnya. Selepas keputusan SPM diumumkan, saya berada dalam dilema. Saya bercita-cita menyambung pengajian di Timur Tengah. Namun dasar baru yang berperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada waktu itu iaitu hanya lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) sahaja boleh melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Timur Tengah menyebabkan cita-cita saya terpaksa ditangguhkan.

Saya sedikit terkilan. Walaupun saya antara pelajar cemerlang SPM 1999 namun saya tidak boleh belajar di Bumi Anbiya . Ini kerana sekolah saya tidak menawarkan peperiksaan STAM tetapi yang ditawarkan hanyalah Sijil Tinggi Agama (STA) yang dikendalikan oleh Majils Agama Islam Negeri Kedah. Saya tidak boleh belajar di Timur Tengah bukan kerana keputusan akademik saya yang teruk tetapi kerana dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan pada waktu itu.

Saya dengan hati yang berat mengisi borang UPU selepas mendapat nasihat daripada ibu bapa saya.Saya memilih Universiti Malaya kerana saya akan belajar selama dua tahun di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri. Ini adalah peluang keemasan kepada saya untuk menambah ilmu. Kelantan adalah bumi serambi Mekah. Ramai ulama yang berada di Kelantan. Banyak pusat-pusat pengajian dan pondok terdapat di Kelantan. Saya boleh belajar dengan ramai ulama selain kuliah wajib di APIUM.

Selepas 2 tahun di Kelantan,saya belajar pula di UM,KL. Walaupun sibuk dengan persatuan, namun semangat untuk mendalami ilmu agama masih menebal dalam diri saya. Saya mengambil peluang belajar di masjid-masjid pada waktu malam jikalau tiada urusan persatuan.

Pada cuti semester pula saya belajar di Maahad 'Ali Littafaquh Fiddin, Derang. Saya bertalaqqi dengan Syeikh Nuruddin Marbu Banjari, Ust Fahmi Zamzam dan Ust Aminuddin. Banyak kitab yang sempat saya habiskan ketika belajar di sini.

Keinginan menambah ilmu tidak berhenti walaupun sudah berkahwin dan bekerja. Walaupun sudah bergelar ustaz tetapi saya tetap belajar di masjid dan bertalaqqi dengan ustaz yang lebih arif. Insyaallah saya akan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Syariah di UM pada bulan Jun nanti. Namun segala-galanya bergantung kepada permohonan saya berpindah ke KL. Jikalau permohonan ditolak, saya terpaksa menangguh dahulu pengajian master saya. Memang bukan senang nak senang......

2 comments:

Unknown said...

syukran...ana bersyukur..sahabat ana ni ade gak blog cam ustaz nasir sulaiman...insyallah enta nak tanya cam mana nk mantapkan blog...enta ley emel kat ana... ibnusulaiman83@gmail.com

Anonymous said...

salam, tahniah jg utk anta. lama sik nangga wajah ktk tek. byk juak kerja dakwah and ceramah ktk kinek tok tek. alhamdulillah

IbnRajab
http://ibnrajab.wordpress.com