Thursday, December 15, 2011

MAKSIAT

Alhamdulillah malam tadi 14 Disember 2011 saya berkesempatan memberi motivasi kepada peserta Kem Bina Sahsiah anjuran Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah bertempat di Sekolah Agama Al-Faizin, Guar Cempedak. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 2,3 dan 4 seluruh negara. Seramai 230 orang pelajar telah mengikuti program tersebut selama 21 hari.Sebelum saya memulakan ceramah saya sempat berbual dengan fasilitator KBS. Mereka memaklumkan bahawa terdapat peserta yang positif dadah setelah dibuat saringan air kencing oleh AADK. Selain itu yang mengejutkan terdapat peserta yang pernah berzina dan menggugurkan kandungan. Sahabat saya Ust Nazmi juga memberitahu sekarang tren pelajar sekolah berzina di dalam kawasan sekolah. Antara lokasi pilihan mereka adalah dewan makan asrama iaitu di bawah meja makan yang ditutup indah dengan kain. Perbuatan terkutuk ini dilakukan pada sebelah malam. Ini kerana dewan makan tidak akan ditutup oleh penguasa kantin kerana mereka mengambil jalan mudah iaitu tidak perlu menunggu semua pelajar habis minum malam. Cara mudah adalah dengan membiarkan dewan makan tidak berkunci. Maka peluang ini diambil oleh pelajar-pelajar bermasalah untuk melakukan maksiat. Justeru, semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah yang semakin membarah di kalangan muda-mudi Islam.

Wednesday, December 14, 2011

BERKONGSI ILMU DI KAMPUNG HALAMAN

Pada 25 November 2011 yang lepas saya diberi peluang untuk menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Sultanah Haminah Qaryah Tanjung Radin. Saya sangat teruja kerana ini merupakan peluang berkongsi ilmu dengan masyarakat kampung yang terdiri daripada ahli keluarga saya sendiri. Pagi ini selepas Solat Subuh Berjemaah sekali lagi Tuan Imam berjumpa dengan saya. Beliau meminta bantuan saya untuk menyampaikan kuliah subuh pada pagi Ahad 18 Disember 2011. Alhamdulillah dengan segala kerdilan diri dan kekurangan ilmu saya akan cuba sebaik mungkin untuk berkongsi ilmu demi mencapai keredhaan Allah.

ALHAMDULILLAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH

Alhamdulillah saya sangat bersyukur kepada Allah kerana saya berjaya untuk ditemuduga bagi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP),Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa. Sesi temuduga akan diadakan di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Saya berdoa mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan segala urusan bagi membolehkan cita-cita mendalami ilmu agama tercapai. Insyaallah ilmu yang akan digali akan diamalkan dan disebarkan kepada masyarakat. Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling banyak manfaat kepada manusia lain"