Thursday, May 26, 2011

BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Alhamdulillah saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat Islam sekitar Bandar Kuching sehingga malam ini walaupun esok pagi saya akan pulang ke kampung halaman. Antara topik yang disampaikan sepanjang minggu lepas dan minggu ini adalah mengenai alamat kecil kiamat.

Sebagai umat Islam kita wajib beriman dengan Hari Akhirat. Mengapakah Hari Akhirat penting? Jawapannya adalah kerana dunia tidak menjamin keadilan kepada penghuninya namun akhirat akan memberi keadilan kepada semua manusia. Sebagai contoh, seorang perompak boleh hidup mewah hasil daripada harta rompakan tetapi dia terlepas daripada hukuman di dunia kerana beliau merupakan seorang perompak yang licik. Seorang pekerja bawahan yang rajin dan bertanggungjawab namun majikan tidak memandang pengorbanan beliau sehingga organisasi tersebut maju. Namun dengan adanya Hari Akhirat maka semua manusia akan mendapat balasan berdasarkan amalan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia.

Manusia yang bijak adalah manusia yang bermuhasabah tentang diri sendiri dan melakukan amalan untuk hari selepas kematian. Kita akan menjadi manusia yang berpandangan jauh dan memikirkan baik buruk sebelum melakukan sesuatu. Semua ini adalah hasil beriman kepada Hari Akhirat.

Saturday, May 14, 2011

NIKMAT ALLAH

Alhamdulillah begitu banyak nikmat Allah kepada saya. Jikalau sebelum ini Allah menguji dengan sedikit musibah tetapi kali ini Allah telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga kepada saya.

Setelah berkhidmat sebagai guru selama 5 tahun dengan berkat sokongan dan dokongan daripada semua pihak, saya telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang(APC) bagi tahun 2010. Satu pengiktirafan kepada kakitangan awam yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Nikmat yang saya sangat impikan adalah menjadi tetamu Allah. Insyaallah pada 31 Mei hingga 13 Jun ini saya akan mengerjakan umrah bersama-sama dengan isteri, ibu dan ibu mertua. Setelah 3 tahun meninggalkan tanah haram pada awal 2008 selepas selesai mengerjakan ibadat Haji, kali ini saya sekali lagi dijemput oleh Allah untuk mengunjungi Baitullah. Nikmatnya melakukan umrah dan membanyakkan ibadat di Masjid Haram serta kesempatan menzirahi maqam Rasulullah di Masjid Nabawi, Madinah Munawwarah. Mudah-mudahan peluang keemasan ini akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam usaha memburu redha Allah.