Wednesday, April 22, 2009

TUNTUTLAH ILMU AGAMA


Alhamdulillah semalam saya dapat menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Mujahidin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya. Walaupun agak penat dengan tugasan di sekolah, namun saya cuba kuatkan semangat demi agama Allah yang tercinta.

Kuliah semalam dihadiri oleh ramai polis pelatih. Mereka nampak segak memakai uniform baju kebangsaan. Saya membincangkan tajuk tentang ’mengapakah saya mesti menjadi muslim dalam berkeluarga’. Buku rujukan saya adalah buku yang berjudul apa ertinya saya menganut Islam karangan Ustaz Fathi Yakan.

Saya memulakan kuliah dengan menerangkan serba sedikit latar belakang penulis. Saya menegaskan penulis asalnya adalah seorang ahli kimia tetapi dengan minat yang mendalam, kesungguhan belajar dan keikhlasan menuntut ilmu, beliau mampu menjadi seorang ulama yang disegani oleh segenap masyarakat. Justeru saya berpendapat anggota polis juga mampu memahami Islam dengan baik jikalau mereka belajar bersungguh-sungguh. Gunakan masa pada sebelah malam antara maghrib dan isyak untuk menuntut ilmu agama Allah.

Dengan ilmu agama insyaAllah pegawai polis boleh menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan amanah. Mereka tidak akan menerima rasuah kerana benteng iman mereka kukuh tersemat di dalam jiwa mereka.

Saya juga memuji langkah PDRM menubuhkan Bahagian Agama dan Kaunseling(BAKA) untuk membentuk sahsiah anggota-anggota polis. Walaupun BAKA masih baru berbanding Kor Angkatan Tentera (KAGAT) tetapi BAKA diharapkan dapat berperanan menyemai nilai-nilai Islam di dalam diri anggota polis.

Mudah-mudahan langkah murni ini mendapat perhatian yang serius daripada pemimpin negara. Ingatlah tugas pemimpin adalah menegakkan agama Islam dan mentadbir dunia dan negara berpandukan agama Islam yakni Al-Quran dan As-Sunnah.

No comments: