Sunday, May 10, 2009
CABARAN SEORANG USTAZ (BAHAGIAN 1)
Alhamdulillah sukan tahunan sekolah dapat diadakan dengan jayanya. Namun saya sangat sedih apabila dimaklumkan ramai pelajar perempuan muslim membuka tudung dan berseluar pendek semasa hari sukan sekolah yang diadakan di stadium pada 30 April yang lepas. Semua ustaz dan ustazah tidak berada di stadium pada hari tersebut. Saya berkursus di KL, Ustaz Norhisyam menjadi guru pengiring untuk Pertandingan Kawad Kaki Kadet Bomba dan Ustazah Azlina pula bercuti.
Hari Selasa lepas selepas perhimpunan saya memanggil semua pelajar perempuan Muslim berkumpul di surau. Satu sesi khas perlu saya jalankan supaya dapat memberi pengajaran kepada semua. Tindakan saya ini berdasarkan perbincangan dengan PK Hem. Beliau banyak membantu saya berkaitan hal agama di sekolah. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik beliau.
Saya mulakan sesi pagi itu dengan memetik ayat Al-Quran dan Hadith Rasulullah yang berkaitan dengan aurat. Namun saya melihat reaksi mereka, mereka masih menganggap perbuatan memakai seluar pendek adalah tidak salah. Itu adalah hak mereka. Saya tidak boleh mencampuri persoalan peribadi mereka. Justeru saya perlu berhujah menggunakan logik akal pula.
Saya tidak cepat melatah dan menghukum pelajar-pelajar tersebut. Saya cuba memahami mereka. Saya berdialog dengan mereka. Saya ingin tahu apakah sebab mereka memakai seluar pendek. Ini adalah uslub dakwah yang telah diajar dan amalkan oleh Rasulullah SAW.
Saya bertanya kepada mereka :” Kenak kitak pakai seluar pendek? Salah sik pakai seluar pendek semasa berlari? Seorang pelajar menjawab: ” Kamek sik selesa pakai panjang. Ganggu kamek berlari”. Hampir semua pelajar memberi alasan yang sama. Saya cuba bertenang. Masya-Allah pelajar-pelajar saya masih jahil dan tidak memahami syariat. Mereka melakukan dosa disebabkan kejahilan.
Saya cuba memberi penjelasan.” Kitak tahu sape yang ciptakan bumi dan matahari?. Mereka menjawab :” Mestilah Allah”. Berapa jarak antara bumi dan matahari?. Mestilah jauh tapi kami tak ingat berapa jauhnya. Saya bertanya lagi :” Boleh sik kalau Allah dekatkan bumi dengan matahari. Apa akan jadi kepada bumi dan penghuni bumi? Mereka menjawab : “ Sik boleh. Bumi akan menjadi panas. Penghuni bumi akan kepanasan. Mungkin mereka akan mati”. Mendengar jawapan mereka saya cuba mengaitkan contoh tadi dengan isu aurat.” Allah adalah Tuhan yang Maha Bijaksana. Allah tahu apakah pakaian yang sesuai dengan perempuan. Apa akan jadi jikalau perempuan mendedahkan aurat dan berpakaian seksi. Syariat dan Sunnatullah adalah untuk kebaikan manusia”.
Saya cuba memberi contoh yang kedua. “ Kamu tahu manusia yang menciptakan kereta. Kereta hanya boleh bergerak apabila diisi dengan minyak. Boleh sik kereta bergerak jikalau diisi dengan air? Mereka menjawab : Sik boleh, kereta akan rosak jikalau diisi dengan air. Saya menambah : ” Manusia tahu tentang kereta kerana manusia yang menciptakan kereta. Begitulah Allah yang menciptakan manusia. Allah tahu apa yang baik untuk manusia dan apa yang tidak baik untuk mereka. Berpakaian seksi tidak baik kepada perempuan.
Mereka cuba menjawab. Mereka masih tidak berpuas hati dengan perbandingan yang saya berikan. ” Kami tahu tentang persoalan aurat. Memang bersalah berpakaian seksi. Tapi masalahnya adalah dalam keadaan bersukan, berlari. Macamana kami nak berlari jikalau kami bertudung dan berseluar panjang?
Seorang pelajar menjawab :” Ustaz nak kami pakai jubah ke ketika kami berlari? Mereka penuh yakin berdebat dengan saya. Mereka yakin dengan tindakan mereka. Mereka tidak bersalah. Saya yang bersalah pada anggapan mereka. Masya-Allah mereka sanggup mempersendakan syariat Islam.
”Kamu tahu Islam sesuai diamalkan pada setiap masa dan tempat? Saya bertanya kepada mereka. Mereka diam. Saya membacakan ayat Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud :Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya dan kemampuannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
Saya melihat raut wajah mereka. Mereka masih tidak berpuas dengan hujah-hujah saya. Mungkin iman mereka lemah, ayat Al-Quran tersebut tidak memberi kesan kepada jiwa-jiwa mereka.
Saya cuba memberi contoh semasa. Kamu kenal Ruqayya, pelari pecut dari negara Bahrain? Mereka menjawab : Kamek sik kenal. Ini peluang kepada saya untuk meruntuhkan ego mereka. Walaupun mereka perempuan tetapi ego mereka begitu tinggi. Saya lantas menjawab : Memang kamu tak tahu. Kamu malas membaca. Buku pelajaran pun tak baca, inikan pula surat khabar ataupun majalah.
Ruqayya adalah ratu pecut sukan Asia yang telah diadakan di Doha pada tahun 2006. Beliau memenangi pingat emas an Asia Dohaak baca, inikan pula surat khabar wa mereka. aik untuk mereka. eka. walaupun beliau memakai seluar panjang dan bertudung. Mereka masih tidak berpuas hati. Ok, ustaz akan tunjukkan gambar Ruqayya kepada kamu. Saya berjanji kepada mereka.
Sekarang kamu mengaku kamu semua bersalah?Mereka keberatan menjawab, hanya sebilangan kecil yang menjawab : ” Kami bersalah”. “ Setiap kesalahan mesti ada hukuman. Betul tak? Saya bertanya kepada mereka. “ Ustaz nak rotan kamu. Berapa kali kamu nak? Sebahagian mereka menjawab : “ Sekali cukuplah ustaz.
Saya tahu merotan pelajar perempuan adalah satu kesalahan berdasarkan pekeliling tahun 1959. Saya masih ingat kerana adalah saya adalah pengerusi majlis ketika sesi perkembangan staf pada masa itu. Namun saya cuba kuatkan semangat kerana merotan adalah salah satu bentuk pendidikan berdasarkan Islam, tidak salah merotan perempuan. Saya pun telah menyatakan sikap saya terhadap pekeliling tersebut semasa sesi perkembangan staf.
Justeru sebelum merotan pelajar sebagai langkah selamat,saya membacakan ayat Al-Quran dan hadith Rasulullah berkaitan hukuman merotan. Saya berharap pelajar akan faham. Saya juga menegaskan tentang syarat-syarat merotan yang telah digariskan oleh Islam. Saya juga menyebut kepada pelajar-pelajar : “ ustaz merotan kamu kerana ustaz sayangkan kamu. Ustaz tak nak kamu terpesong jauh. Bukan ustaz bencikan kamu”. Saya pasrah kepada Allah kerana tindakan saya tidak bercanggah dengan syariat walaupun bercanggah dengan pekeliling yang sudah ketinggalan zaman itu. Lagipun saya sudah pesan sebelum sukan supaya mereka menutup aurat tetapi mereka masih berdegil. Justeru merotan memang patut dikenakan kerana mereka sengaja mencabar syariat Allah. Dalam kelas pun sudah berkali-kali saya bercakap soal aurat.
Selepas merotan di tapak tangan, saya meminta mereka bertaubat. “ Ustaz minta kamu berjanji tidak akan pakai seluar pendek. Mereka menjawab : Apa hak ustaz paksa kami? Mana boleh paksa-paksa. Nanti kami nak berubah, kami berubahlah. Masya-Allah pelajar saya begitu biadab. Tidak sedar dengan siapa mereka bercakap. Saya cuba bersabar dan mengawal perasaan marah. Hukuman rotan masih tidak mampu merubah sikap mereka. Saya sedikit terkilan dan sedih. Namun sepotong ayat al-Quran telah memberi kekuatan kepada saya. Ayat Al-Quran tersebut bermaksud : kamu wahai Muhammad tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai namun Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya”.
”Kamu tahu bertaubat adalah wajib. Wajib disegerakan. Tak boleh bertangguh-tangguh. Apabila kamu menjadi penganut Islam, kamu wajib patuh kepada syariat Islam. Contoh kamu sebagai pelajar SMTKu, kamu wajib mematuhi peraturan sekolah ini. Kami sebagai cikgu boleh paksa kamu. Tetapi jikalau kamu bukan pelajar sekolah ini memang kami tiada hak memaksa kamu. Begitulah juga jikalau kamu bukan Islam, memang ustaz tidak boleh paksa kamu. Tetapi sekarang kamu adalah muslim, umat Islam”
Mereka masih tidak menunjukkan sifat bahawa mereka sudah bertaubat. Jadi untuk menutup sesi khas pada pagi itu saya mengajak semua pelajar berdoa. Saya memanjatkan doa kepada Allah. Saya berdoa dalam Bahasa Melayu supaya mereka faham isi doa saya. Ada sebilangan mereka menangis kerana menghayati doa yang saya panjatkan kepada Allah. Namun masih terdapat pelajar yang masih tinggi ego mereka.
Selepas berdoa, saya meminta semua pelajar bersalaman dengan guru-guru perempuan muslim dan bersurai selepas itu. Namun terdapat pelajar yang masih lagi sombong dan ego. Mereka terus masuk ke dalam kelas tanpa bersalaman dengan guru-guru.
Inilah realiti dan cabaran mengajar di sekolah yang keputusan Pendidikan Islam SPM 2008, kedua tercorot antara sekolah-sekolah teknik seluruh Malaysia. Mereka tergolong dalam kategori “tidak tahu bahawa tidak tahu”(bahasa lembut, bahasa kasar bodoh sombong). Mereka tidak sedar mereka jahil justeru mereka sanggup berdebat dengan saya.
Nantikan cabaran yang menanti saya selepas ini pada bahagian kedua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment