Wednesday, May 13, 2009

CABARAN SEORANG USTAZ (BAHAGIAN 2)


Sebelum pulang saya pergi ke pejabat am sekolah. Seorang kerani sekolah bertanya kepada saya : “ kenak ustaz hukum pelajar perempuan. Kalau saya ambil bahagian, saya pun akan pakai seluar pendek”. Dia penuh yakin, tidak nampak di raut wajahnya bersalah dengan perkataannya tadi. Saya tersenyum apabila saya melihat beliau. Terlintas di dalam hati, badan begitu pun(bahasa lembut) ada hati nak pakai seluar pendek. Kalau badan cantik bolehlah tahan sikit.

Saya menjawab : ”tak boleh pakai seluar pendek, berdosa”. Dia menjawab : ”biasalah ustaz, bersukan, mesti ada semangat kesukanan. Saya bertegas :”tak boleh walaupun bersukan, ratu pecut Sukan Asia pun menutup aurat. Boleh menang. Ni hanya sukan peringkat sekolah dah bagi alasan tak selesa, tak boleh menang kalau menutup aurat. Semangat kesukanan konon. Ratu pecut Sukan Asia 2006 tu tak ada semangat kesukanan ke?

Kakak tadi masih cuba menjawab :”biasalah ustaz, budak-budak lagi”. Kali ini peluang keemasan kepada saya untuk mematahkan hujah beliau. ” Budak-budaklah kita kena tegur, nasihat. Kalau dah besar, susah. Nak lentur buluh mesti semasa rebung, bila dah jadi buluh memang tak dapat dilentur lagi. Saya berhujah dalam suasana muhibbah. Senyum-senyum saja supaya beliau tidak kecil hati. Saya mesti berhikmah dengan beliau dan saya juga menghormati beliau sebagai seorang kakak yang lebih tua daripada saya. Itulah keindahan Islam bukan hanya terletak kepada kebenaran dan kekuatan hujah tetapi pendakwah juga mesti menunjukkan akhlak yang mulia.

Beliau terdiam. Saya harap beliau insaf dan sedar tentang kewajipan menutup aurat dan tugas ustaz untuk menjalankan amar makruf nahi mungkar.

Keesokannya, seorang ibu bapa yang kononnya bijak tetapi hakikatnya tidak bijak(bahasa sopan) telah menelefon pihak pentadbir. Ibu bapa tersebut tidak berpuas hati dengan tindakan saya ke atas anak mereka. Bagi mereka saya telah melanggar hak asasi manusia, kebebasan manusia berpakaian. Saya sudah menjangkakan dari awal lagi setelah melihat reaksi pelajar pada hari tersebut. Mereka memang akan mengadu kepada ibu bapa mereka. Mereka memang tidak mengakui kesilapan mereka.

Saya telah dipersalahkan. Saya pasrah tapi bukan mengaku kalah. Syariat Islam mesti didaulatkan. Pantang pendakwah mengaku kalah hanya dengan sedikit cabaran yang mendatang. Saya menjadikan sirah perjuangan rasul-rasul sebagai semangat dan motivasi kepada saya. Hadith Rasulullah SAW menjadikan saya semakin berani. Hadith tersebut bermaksud : ” berkatalah benar walaupun pahit

Saya harus berani tetapi berani bodoh.Saya harus bijak mengatasi masalah ini. Saya harus bertenang dan tidak cepat panik. Saya yakin Allah sentiasa bersama-sama saya. Sekali lagi ayat Al-Quran menjadi penenang jiwa saya. Ayat tersebut bermaksud : jangan kamu takut dan sedih kerana sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.

Kalau sebelum ini saya berhadapan dengan pelajar tetapi cabaran lebih getir akan menanti saya. Kali ini saya akan berhadapan dengan pentadbir dan ibu bapa yang memang tidak memahami Islam(bahasa lembut). Justeru ayat Al-Quran dan Hadis yang akan saya gunakan sebagai sandaran ketika berhujah akan ditolak mentah-mentah oleh mereka .

Kali ini juga saya berhadapan dengan golongan yang kononnya ”berpendidikan”. Justeru saya perlu berhujah secara ilmiah bukan secara emosi. Saya perlu buktikan tindakan saya adalah berdasarkan rasional bukan emosional.

Alhamdulillah Allah mengilhamkan kepada saya. Saya teringat kepada Prof Dr Aziz Bari, Pensyarah UIAM. Beliau adalah pakar Perlembagaan Malaysia. Tulisan beliau di dalam Majalah I terbitan Karangkraf ketika membincangkan dan mengulas mengenai Perlembagaan Malaysia menjadi sandaran hujah saya pada kali ini.

Artikel 160 secara jelas mendefinisikan MELAYU sebagai orang Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Ini disini terdapat 2 isi penting yang boleh diketengahkan.

Orang MELAYU mesti beragama Islam. Sifat dan kewajipan ke atas setiap orang Islam adalah menutup aurat. Justeru memakai seluar pendek ketika bersukan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia kerana tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian.

Kedua, orang Melayu mesti mengamalkan adat Melayu. Memakai seluar pendek bukan adat Melayu. Ia adalah tindakan menyalahi adab kesopanan sebagai gadis Melayu. Justeru sekali lagi memakai seluar pendek bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

Artikel 3 pula mengatakan bahawa Islam adalah agama rasmi. Justeru Islam perlu dihormati dan diamalkan. Jikalau memakai seluar pendek dibenarkan nescaya kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak mempunyai apa-apa maksud lagi.

Artikel 11 (4) pula menyebut kerajaan negeri boleh menggubal undang-undang menyekat dakyah agama lain daripada disebarkan kepada orang Islam. Salah satu dakyah agama lain adalah memakai pakaian seksi dan mendedahkan aurat. Justeru dakyah ini perlu dibendung dan dibanteras. Justeru saya mengambil tindakan kepada pelajar perempuan yang memakai seluar pendek adalah tidak salah dan memang bertetapan dengan Artikel 11 (4) kerana menyekat dakyat agama lain daripada disebarkan kepada orang Islam .

Selain itu, tindakan saya adalah selaras dengan Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan. Mendedahkan aurat adalah bertentangan dengan konsep Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan. Rukun Negara wajar dihayati oleh semua warganegara lebih-lebih lagi pelajar sekolah yang sentiasa melafazkannya setiap minggu iaitu pada Perhimpunan Mingguan Sekolah.

Saya tidak tahu samada mereka berpuas hati dengan hujah-hujah saya tadi. Namun apa-apa pun saya berserah dan bertawakal kepada Allah. Saya sedar tugas saya hanyalah memberi peringatan dan nasihat namun hati-hati mereka adalah milik Allah. Justeru saya berdoa supaya Allah membuka hati mereka dan mengurniakan hidayah kepada mereka .

Saya juga sedar saya perlu menjadi al-hudur al-muassir(kehadiran yang memberi kesan) seperti yang dijelaskan oleh Prof Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili ataupun menjadi umat nukleus seperti yang diungkapkan oleh Prof HAMKA ketika mentafsirkan ayat ummatan wasata. Kehadiran saya di sekolah perlu memberi kesan kepada pelajr dan warga sekolah. Saya tidak harus menjadi seperti melukut di tepi gantung, ada tidak menyebabkan bertambah dan tiadanya tidak menyebabkan berkurang.

Saya berpegang kepada falsafah jikalau takut kepada ombak jangan berumah di tepi pantai, jikalau takut kepada cabaran janganlah memilih ustaz sebagai profesion. Tetapi bukanlah bermaksud kita membiarkan berlaku cabaran sahaja tetapi hendaklah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh menghadapi cabaran tersebut. Jikalau dicampakkan ke laut menjadi pulau dan jikalau dicampakkan ke daratan menjadi bukit. Itulah hakikat kewujudan saya di sekolah. Saya harus mempunyai jiwa besar walaupun berbadan kecil.

3 comments:

Mullah TTDI said...

Salam Afnan

Mullah sudah membaca kedua-dua siri tentang Cabaran Seorang Ustaz dan memang tabik 'spring'lah dgn Afnan ni.... Apa2pun, Mullah akan ikuti sambungan blog Afnan ini

AzlanSajirah said...

Assalamualaikum ustaz..

Ada blog rupa-rupanya..

D'Rimba said...

Betulla ustaz, saya benci amat dengan keadaan ini setiap kali bersukan kena dedahkan aurat. Apa ini semua kita kaur kepada yahudi pembuat pakaian sukan. Di stadium UIA pun tidak ketinggalan situasi ini. Saya ada juga memberi komen di web UIA, mudahan mereka mengambil tindkan tegas isu ini memang telah lama terbiar. Tolonglah kembalikan martabatkan Islam. Mereka semua kurang jelas zaman kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah salah satu puncanya adalah sukan.