Friday, January 23, 2009

HUKUMAN ROTAN MENURUT PANDANGAN ISLAM



Kesalahan disiplin di kalangan pelajar menjadi perbualan guru-guru apabila sesi persekolahan baru saja dibuka. Minggu lepas kami mengikuti perkembangan staf berkaitan disiplin. Apa yang menarik minat saya adalah berkaitan hukuman merotan. Mengikut Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah ) 1959 hukuman merotan hanya boleh dikenakan kepada pelajar lelaki sahaja. Pelajar perempuan tidak boleh dikenakan hukuman merotan.

Peraturan ini bercanggah sama sekali dengan kaedah pendidikan di dalam Islam. Merotan dalam Islam bukan sebagai hukuman(al-'uqubah) tetapi sebagai satu cara dan kaedah pendidikan(at-tarbiyyah wa at-ta'dib). Rasulullah meminta semua ibu bapa menyuruh anak-anak mereka mendirikan solat apabila berumur 7 tahun. Namun apabila anak sudah berumur 10 tahun tetapi masih enggan mendirikan solat, maka Rasulullah memberi keizinan kepada ibu bapa untuk merotan anak mereka. Di dalam hadith ini tidak dibezakan samada anak lelaki mahupun anak perempuan.
Allah juga membenarkan suami memukul isteri jikalau mereka nusyuz(derhaka). Namun kebenaran ini hanya dibolehkan setelah suami mendidik, membimbing, menasihati, menegur dan memberi kaunseling kepada isteri. Jikalau isteri masih menderhaka, suami hendaklah mengasingkan tempat tidur dengan isteri. Setelah proses ini selesai tetapi isteri masih menderhaka, barulah suami dibenarkan memukul isteri dengan tujuan mendidik bukan mendera.
Selain itu, Allah juga meminta pemerintah menjatuhan hukuman 100 kali sebatan kepada penzina perempuan dan lelaki. Bukti-bukti ini menyanggah sama sekali Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959 yang tidak membenarkan pelajar perempuan dirotan.
Namun merotan hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak seperti berikut:
  1. Merotan hanya boleh dikenakan kepada pelajar berumur 10 tahun ke atas sahaja.
  2. Muka dan kawasan-kawasan merbahaya seperti perut dan kemaluan hendaklah dielakkan.
  3. Alatan merotan hendaklah dipastikan tidak memudharatkan pelajar. Justeru rotan adalah alat yang paling sesuai.
  4. Merotan bukan dengan tujuan mendera sehingga meninggalkan kesan-kesan lebam pada badan pelajar. Di dalam al-Quran digunakan perkataan ijlidu untuk merujuk kepada merotan. Ijlidu berasal daripada perkataan jaldun yang bermaksud kulit. Mengikut fakta sains, kulit adalah deria yang dapat merasai kesakitan. Justeru had merotan hanyalah sehingga pelajar merasai pedih-pedih sahaja.
  5. Merotan boleh dikenakandi khalayak ramai apabila melibatkan kes berat. Hal ini diqiaskan kepada hukuman had zina. Ia bukan bertujuan memalukan pelajar tersebut tetapi lebih kepada peringatan dan amaran kepada pelajar-pelajar lain.

Justeru, saya amat yakin kes disiplin hanya dapat diatasi apabila kita kembali kepada Al-Quran dan sunnah Rasulullah. Akal manusia sangat terbatas sedangkan Allah Maha Mengetahui dan lagi bijaksana.



1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum...

nak tanya, bagi guru disiplin yang bergelar ustaz....merotan pelajar dengan alasan seorang buat salah dan yang lain pun turut serta dirotan...betulka tindakan tu?

komen?

syukran jazilan ya ustaz...