Saturday, February 14, 2009

CINTA VS CGPA



Khamis yang lepas, 12 Feb saya telah dijemput menjadi ahli panel untuk forum yang diadakan di Dewan Serbaguna Politeknik Kuching. Forum bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pada pukul 4.15 petang. Forum ini mendapat sambutan hangat di kalangan mahasiswa Jabatan Perdagangan. Pelbagai persoalan menarik daripada moderator dan mahasiswa Politeknik diutarakan kepada ahli panel.

Antara soalan kepada saya, bolehkah bercinta sebelum berkahwin?Kalau boleh, adakah ia sebagai membuka pintu kepada perzinaan. Sedangkan Allah menegah kita daripada menghampiri zina. Jikalau tidak boleh bercinta, bagaimanakah kami hendak berkahwin? Saya cuba memberi penjelasan kepada hadirin. Istilah bercinta sebelum berkahwin perlu ditukar kepada 'berkenalan' sebelum berkahwin. Ini yang lebih tepat. Rasulullah memerintahkan setiap lelaki yang hendak berkahwin hendaklah melihat perempuan yang hendak dipinang. Hukum melihat bakal tunang adalah sunat. Dalam tempoh bertunang perlu dijaga adab-adab antara seorang lelaki dan perempuan. Tidak boleh keluar berdua-duaan, berpegangan tangan dan sebagainya. Jadi tidak timbul lagi persoalan bercinta sebelum berkahwin.

Soalan kedua yang agak menarik, mengapakah 'tidak' boleh bercinta sebelum berkahwin? Sedangkan cinta akan memberi kami semangat untuk belajar. Sebelum bercinta kami malas belajar tetapi selepas kami mempunyai teman istimewa kami begitu semangat belajar. Jadi dimana salahnya bercinta semasa belajar? Saya tersenyum mendengar soalan in. Saya cuba memberi pendapat tentang persoalan ini. Mungkin betul cinta akan memberi motivasi kepada kita untuk belajar tetapi cuba bayangkan bagaimanakah keadaannya bila kamu putus cinta? Nescaya kamu kita dapat belajar. Kamu jadi kelam kabut, tidak terurus, susah hati dan sedih. Ini semua disebabkan putus cinta. Mungkin tidur tidak lena, makan tidak kenyang tapi mandi tetap basah. Saya cuba berjenaka dengan hadirin.

Selain itu antara soalan yang agak menarik adalah perlukah kami yang sudah mempunyai teman istimewa memutuskan perhubungan dengan si dia? Daripada penjelasan ustaz, macam tak boleh bercinta je? Bagaimanakah perasaan kawan istimewa saya ini? Saya bimbang dia akan menuduh saya sebagai playboy.Saya bimbang akan tertekan. Pelajar ini dalam dilema dan kebingungan. Saya sekali lagi cuba menjawab kekeliruan ini. Kamu semua tidak perlu memutuskan perhubungan dengan kawan istimewa kamu. Tapi kamu perlu memberitahu dia bahawa sekarang masa untuk kamu menumpukan kepada pelajaran dan akademik. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercinta. Insyaallah selepas tamat pengajian, kamu akan menghantar rombongan untuk meminang si dia.

Kesimpulannya bercinta merupakan fitrah dan naluri semulajadi semua manusia. Cuma yang penting bagaimanakah kita menguruskan cinta supaya kita tidak melanggar syariat dan kecewa pada kemudian hari.

No comments: