Monday, May 31, 2010

ADIB & SUHAILA DI KUCHING




Alhamdulillah pada 28 Mei 2010 yang lepas Adib rakan sepengajian di UM dahulu selamat sampai di Kuching, Sarawak. Saya bersempatan mengambil beliau dan isteri di Kuching International Airport. Keesokannya kami telah pergi ke Serikin, sempadan Indonesia untuk membeli belah. Semalam sebelum pulang ke Pulau Pinang beliau, isteri dan Razak telah bertandang ke rumah saya.

Semoga ukhwwah yang terjalin akan sentiasa utuh.

Sunday, May 30, 2010

PENGUMUMAN : KULIAH MAGHRIB & SUBUH DITANGGUHKAN SELAMA 3 MINGGU



Assalamualaikum. Untuk makluman semua jemaah Masjid Al-Muhajirin, Taman Matang Jaya, Masjid Darul Ibadah, Kg Kudei, Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma dan Masjid Taman Malihah, Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh Mingguan akan ditangguhkan selama 3 minggu. Saya akan bercuti di kampung halaman mulai 31 Mei sehingga 20 Jun 2010. Insyaallah jikalau tiada sebarang masalah kuliah di Masjid Darul Ibadah, Kg Kudei akan bermula semula pada 21 Jun, Masjid Taman Malihah pada 25 Jun dan kuliah di Masjid Al-Muhajirin dan Masjid Ikhwanul Islam pada 26 Jun 2010.

Bersama-sama kita menghadiri taman-taman syurga di masjid.

Friday, May 28, 2010

LIKU- LIKU SEBAGAI PENDAKWAH



Alhamdulillah Allah memberi kekuatan kepada saya untuk berdakwah kepada masyarakat. Dengan sedikit ilmu di dada saya memberanikan diri terjun ke dalam dunia dakwah.

Pelbagai pengalaman yang pernah dilalui oleh saya sepanjang berkecimpung dalam usaha dakwah ini. Saya pernah mendapat undangan memberi ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul. Banyak jemputan ceramah saya tolak kerana saya telah memberi persetujuan untuk ceramah di tempat tersebut. Namun apabila dekat dengan tarikh ceramah tersebut saya menelefon kembali penganjur. Saya ingin mendapatkan kepastian tentang ceramah tersebut. Maka penganjur memaklumkan kepada saya bahawa ceramah tersebut dibatalkan. Yang anehnya pihak penganjur tidak memaklumkan pembatalan ceramah sehinggalah saya menelefon penganjur untuk bertanya tentang ceramah tersebut.

Saya juga berpengalaman memberi ceramah kepada 800 orang pelajar. Saya telah membuat persiapan lebih awal dengan menyiapkan slide power point. Namun pada malam tersebut saya hanya sempat menggunakan power point 5 minit sahaja. Selepas itu saya terpaksa berceramah tanpa bantuan power point kerana LCD Projektor terpadam. Bayangkan berceramah kepada pelajar yang ramai dalam keadaan yang sedikit panas menyebabkan saya hilang fokus. Ini kerana pelajar juga bising kerana hilang tumpuan apabila LCD Projketor terpadam.

Itulah sedikit perkongsian pengalaman berdakwah. Amat sedikit cabaran jikalau hendak dibandingkan dengan cabaran yang pernah dilalui oleh pejuang-pejuang Islam sebelum ini.

Monday, May 24, 2010

PETUA 5S & 5A UNTUK BERJAYA



Pada hari ahad 16Mei yang lepas dalam perjalanan balik dari ekspedisi dakwah ke Kg Sawai, kami singgah di SMKA Sibu untuk makan tengahari dan Solat Zohor dan Asar secara Jamak Taqdim. Kebetulan pada waktu itu YB Dato' Ahmad Mazlan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia telah singgah untuk Solat Zohor di surau sekolah tersebut. Beliau dalam rangka meninjau perkembangan pilihanraya kecil Parlimen Sibu. Selepas solat beliau mengambil peluang memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar SMKA Sibu. Beliau menekankan tentang formula untuk berjaya yang diamalakan oleh beliau iaitu 5S & 5A. 5S yang dimaksudkan ialah solat, semangat, sungguh-sungguh, sama-sama dan sistematik. Manakala 5A pula ialah amanah, akhlak, akrab,aktif dan ambicious.

Saya menyalin formula yang diberikan oleh beliau walaupun beliau bukanlah tokoh yang saya kagumi. Ini kerana Islam mengajar saya berfikiran positif dan rasional. Berdasarkan hadis nabawiyyah Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :" Hikmah itu sesuatu yang hilang dariapda orang mukmin. Dimana kamu menjumpainya maka ambillah". Justeru, mari sama-sama mengamalkan formula ini.

Thursday, May 20, 2010

PENGALAMAN BERDAKWAH DI KG SAWAI, DARO MUKAH















Pada 14 hingga 16 Mei 2010 yang lepas saya bersama-sama rombongan daripada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Sarawak telah menyertai Ekspedisi Dakwah ke Kg Sawai, Daro Mukah. Rombongan kami disertai seramai 40 orang terdiri daripada Guru Pendidikan Islam sekitar Kuching dan Kota Samarahan, Doktor Perubatan dan Sukarelawan Urusetia Saudara Kita. Kami bertolak selepas mendirikan Solat Subuh secara berjemaah di Islamic Information Centre. Perjalanan kami mengambil masa hampir 9 jam dengan menaiki bas. Kami singgah di Serian pada pukul 7 pagi untuk sarapan. Selepas perjalanan diteruskan lagi hingga kami singgah sebentar di Sarikei untuk makan tengahari dan Solat Jumaat. Selesai solat jumaat, kami meneruskan lagi perjalanan hingga sampai di Bandar Sibu. Kami dapat melihat kemeriahan kempen pilihanraya kecil Parlimen Sibu.

Selepas itu kami terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda kerana jalan ladang kelapa sawit yang sangat mencabar. Jalan ini tidak boleh dilalui oleh bas. Perjalanan menaiki Hilux mengambil masa selama 30 minit. Begitu mencabar sekali. Saya terfikir bagaimanakah pendakwah pada dahulu boleh sampai di kawasan pendalaman semata-mata untuk menyebarkan dakwah Islam. Sudah tentu pada masa itu jalan lebih sukar daripada zaman sekarang.

Selepas itu kami terpaksa menaiki bot pula untuk sampai ke Kg Sawai. Satu-satu kenderaan yang boleh sampai ke Kg Sawai hanyalah bot. Pengalaman yang sungguh menarik menaiki bot selama 20 minit. Kemudian kami sampai dengan selamat. Ketibaan kami disambut oleh penduduk kg. Mereka semua bgitu teruja dengan kehadiran kami.

Selepas minum petang dan mandi air sungai kami bersiap-siap untuk solat maghrib secara berjemaah. Selesai solat maghrib, kami bersama-sama penduduk kg mendengar sesi tazkirah. Namun tazkirah pada malam tersebut begitu unik kerana isi tazkirah perlu diterjemah ke dalam Bahasa Melanau. Rata-rata penduduk kg yang sudah veteran tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Sarawak. Maka terlintas daalm fikiran kami, setiap pendakwah perlu memahami dan menguasai bahasa dan budaya setempat supaya isi dakwah boleh sampai kepada mad’u dengan lebih berkesan. Justeru dalam ucapan aluan oleh Ust Md Ahir Hj Ahmad, Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN mencadangkan kelas bahasa setempat seperti Bahasa Melanau, Bahasa Bidayuh dan Bahasa Iban kepada semua pendakwah. Ini akan memudahkan pendakwah berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Kemudian kami semua mendengar sesi taklimat Zakat daripada Pegawai Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Sibu. Namun begitu bagi kami taklimat tersebut kurang tepat kerana penduduk kg terdiri daripada orang miskin yang mana mereka yang memerlukan wang zakat. Justeru itu, sepatutnya pegawai Baitulmal perlu memfokuskan kepada penerangan bagaimanakah prosedur untuk mendapatkan wang zakat dan bantuan. Inilah yang lebih tepat daripada memfokuskan isi taklimat kepada kewajiapan zakat dan jenis-jenis zakat yang wajib dibayar oleh umat Islam.

Selepas itu makan malam bersama-sama penduduk tanpa mengira agama. Hidup dalam keadaan cukup harmoni walaupun berbeza agama dan kepercayaan. Kemudian kami tidur seketika dengan hanya beralaskan kain pelikat tidur di atas lantai kayu dalam kelas. Ini semua mengajar kami bersyukur dengan nikmat daripada Allah.

Keesokannya jadual dakwah kami begitu padat. Dalam masa yang sama berlangsung 3 acara iaitu motivasi untuk pelajar, kaunter perubatan moden dan kaunter perubatan Islam. Inilah keindahan Islam apabila pendudukan beragama Kristian datang berjumpa dengan ahli Darus Syifa' mohon didoakan supaya sembuh daripada sebarang musibah dan penyakit.

Selepas makan tengahari penduduk kg mengikuti Bengkel Solat dan penyembelihan. Selepas itu mereka bersama-sama dengan pelajar menyertai sukaneka. Remaja lelaki pula menyertai pertandingan bola sepak. Pasukan JPN kalah 6-0 kepada remaja kg sawai. Ternyata mereka begitu hebat berbanding kami yang jarang-jarang bersukan.

Kami menaiki bot untuk melihat pandangan kg selepas penat menyertai sukaneka dan pertandingan bola sepak. Program diteruskan lagi dengan solat maghrib, kuliah maghrib,solat Isyak dan BBQ. Alhamdulillah kami kekenyangan pada malam tersebut menikmati udang galah. Begitu enak dan segar sekali.

Kemudian kami diagihkan kepada keluarga angkat. Saya bersama saudara Sofwan Abdullah tidur di rumah yang sama. Kami tidur lewat pada malam tersebut. Saudara Sofwan ingin berkongsi nikmat Islam dan Iman dengan keluarga angkat.'Program Tanyalah Ustaz' secara ulangan pada pukul 1-2 pagi dikendalikan oleh Saudara Sofwan. Saya hanya menjawab kemusykilan yang gagal dijawab oleh beliau. Saya dapat melihat kesungguhan beliau menyebarkan ilmu.

Keesokannya selepas solat subuh dan sarapan kami bertolak meninggalkan kg sawai pada 9 pagi. Pengalaman yang sungguh indah. Namun ekspedisi ini dianggap tidak berjaya jikalau tiada usaha berterusan daripada berwajib seperti JAIS dan Tabung Baitulmal Sarawak dalam memastikan penduduk Kg Sawai celik agama.

Friday, May 7, 2010

TUNTUTLAH ILMU HINGGA KE LIANG LAHAD



Permohonan saya untuk Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa tidak berjaya. Keputusan adalah muktamad tiada rayuan. Namun saya telah berjaya mendapat tawaran kemasukan ke program Ijazah Tinggi, Universiti Malaya Semester 1 Sesi 2010/2011. Saya dikehendaki mendaftar pada 2 Julai 2010 dan selewat-lewatnya pada 9 Julai 2010. Tawaran ini hanya sah untuk semester 1 sesi 2010 sahaja. Ini bermakna pengajian ini tidak boleh ditangguhkan.Jadi ini merupakan tawaran kali ketiga namun sehingga ke saat ini saya masih belum berpeluang menyambung pengajiaan ke peringkat sarjana.

Saya hampir kecewa dan putus asa. Namun saya harus menerima cabaran dan dugaan daripada Allah. Tiada yang mudah dalam dunia ini. Hendak berjaya seseorang harus berjiwa kental dan sabar mengharungi cabaran yang mendatang.

Sebelum ini saya pernah memohon bertukar ke Kuala Lumpur untuk memungkinkan saya dapat menyambung pengajian namun permohonan tersebut juga ditolak. Jikalau saya bertugas di Kuala LUmpur maka saya aakn berpeluang belajar secara sambilan kerana kuliah diadakan pada pukul 3 hingga 6 petang pada hari-hari bekerja. Tiada kuliah pada hujung minggu. Namun jikalau saya berkhidmat di Kuching, saya memang tidak berpeluang menyambung pengajian secara Kursus dan Penyelidikan.

Saya amat suka tinggal di Kuching. Bumi Kenyalang amat subur untuk dakwah. Disinilah saya belajar tentang dunia dakwah. Di Kuching jugalah saya mengasah bakat sebagai pendakwah, penceramah, khatib dan pengkuliah. Sepanjang saya menyebarkan ilmu terasa diri ini terlalu kerdil. Masih banyak ilmu yang belum saya kuasai. Justeru saya perlu menambahkan ilmu.

Walaupun suatu hari nanti saya pulang ke semenanjung untuk menyambung pengajian namun bumi Sarawak amat dekat di hati. Saya masih boleh menyumbang walaupun tidak lagi berada di Sarawak. Sekarang dunia canggih dan geografi yang jauh tidak menjadi masalah. Jikalau hendak seribu daya.Terus berjuang insyaallah.

Thursday, May 6, 2010

EKSPEDISI DAKWAH KE KG SAWAI, DARO MUKAH



Alhamdulillah petang tadi telah berlangsung mesyuarat Ekspedisi Dakwah ke Kg Sawai di Tingkat 9 Jabatan Pelajaran Sarawak.Ini merupakan perkembangan positif kepada dakwah apabila Jabatan Pelajaran Sarawak dengan kerjasama Urusetia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak, JAKIM dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak berganding bahu menganjurkan program yang dijadualkan akan diadakan pada 14,15 dan 16Mei 2010. Walaupun JPN tiada peruntukan untuk program ini namun berkat kerjasama semua pihak insyaallah program tersebut akan berjalan dengan lancar.

Pada akhir mesyuarat, Saudara Helmi Pengerusi USK telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM2000 untuk program tersebut. Pihak JAKIM pula akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan untuk makan malam. Insyaallah rundingan akan diadakan dengan pihak Bank Rakyat dan Tabung Haji serta Tabung Baitulmal Sarawak untuk mendapatkan peruntukan bagi menampung perbelanjaan-perbelanjaan yang lain. Saya mendoakan semoga program ini akan berjalan dengan lancar dan program-program seumpamanya akan diadakan lagi pada masa-masa akan datang.