Thursday, May 20, 2010

PENGALAMAN BERDAKWAH DI KG SAWAI, DARO MUKAH















Pada 14 hingga 16 Mei 2010 yang lepas saya bersama-sama rombongan daripada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Sarawak telah menyertai Ekspedisi Dakwah ke Kg Sawai, Daro Mukah. Rombongan kami disertai seramai 40 orang terdiri daripada Guru Pendidikan Islam sekitar Kuching dan Kota Samarahan, Doktor Perubatan dan Sukarelawan Urusetia Saudara Kita. Kami bertolak selepas mendirikan Solat Subuh secara berjemaah di Islamic Information Centre. Perjalanan kami mengambil masa hampir 9 jam dengan menaiki bas. Kami singgah di Serian pada pukul 7 pagi untuk sarapan. Selepas perjalanan diteruskan lagi hingga kami singgah sebentar di Sarikei untuk makan tengahari dan Solat Jumaat. Selesai solat jumaat, kami meneruskan lagi perjalanan hingga sampai di Bandar Sibu. Kami dapat melihat kemeriahan kempen pilihanraya kecil Parlimen Sibu.

Selepas itu kami terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda kerana jalan ladang kelapa sawit yang sangat mencabar. Jalan ini tidak boleh dilalui oleh bas. Perjalanan menaiki Hilux mengambil masa selama 30 minit. Begitu mencabar sekali. Saya terfikir bagaimanakah pendakwah pada dahulu boleh sampai di kawasan pendalaman semata-mata untuk menyebarkan dakwah Islam. Sudah tentu pada masa itu jalan lebih sukar daripada zaman sekarang.

Selepas itu kami terpaksa menaiki bot pula untuk sampai ke Kg Sawai. Satu-satu kenderaan yang boleh sampai ke Kg Sawai hanyalah bot. Pengalaman yang sungguh menarik menaiki bot selama 20 minit. Kemudian kami sampai dengan selamat. Ketibaan kami disambut oleh penduduk kg. Mereka semua bgitu teruja dengan kehadiran kami.

Selepas minum petang dan mandi air sungai kami bersiap-siap untuk solat maghrib secara berjemaah. Selesai solat maghrib, kami bersama-sama penduduk kg mendengar sesi tazkirah. Namun tazkirah pada malam tersebut begitu unik kerana isi tazkirah perlu diterjemah ke dalam Bahasa Melanau. Rata-rata penduduk kg yang sudah veteran tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Sarawak. Maka terlintas daalm fikiran kami, setiap pendakwah perlu memahami dan menguasai bahasa dan budaya setempat supaya isi dakwah boleh sampai kepada mad’u dengan lebih berkesan. Justeru dalam ucapan aluan oleh Ust Md Ahir Hj Ahmad, Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN mencadangkan kelas bahasa setempat seperti Bahasa Melanau, Bahasa Bidayuh dan Bahasa Iban kepada semua pendakwah. Ini akan memudahkan pendakwah berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Kemudian kami semua mendengar sesi taklimat Zakat daripada Pegawai Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Sibu. Namun begitu bagi kami taklimat tersebut kurang tepat kerana penduduk kg terdiri daripada orang miskin yang mana mereka yang memerlukan wang zakat. Justeru itu, sepatutnya pegawai Baitulmal perlu memfokuskan kepada penerangan bagaimanakah prosedur untuk mendapatkan wang zakat dan bantuan. Inilah yang lebih tepat daripada memfokuskan isi taklimat kepada kewajiapan zakat dan jenis-jenis zakat yang wajib dibayar oleh umat Islam.

Selepas itu makan malam bersama-sama penduduk tanpa mengira agama. Hidup dalam keadaan cukup harmoni walaupun berbeza agama dan kepercayaan. Kemudian kami tidur seketika dengan hanya beralaskan kain pelikat tidur di atas lantai kayu dalam kelas. Ini semua mengajar kami bersyukur dengan nikmat daripada Allah.

Keesokannya jadual dakwah kami begitu padat. Dalam masa yang sama berlangsung 3 acara iaitu motivasi untuk pelajar, kaunter perubatan moden dan kaunter perubatan Islam. Inilah keindahan Islam apabila pendudukan beragama Kristian datang berjumpa dengan ahli Darus Syifa' mohon didoakan supaya sembuh daripada sebarang musibah dan penyakit.

Selepas makan tengahari penduduk kg mengikuti Bengkel Solat dan penyembelihan. Selepas itu mereka bersama-sama dengan pelajar menyertai sukaneka. Remaja lelaki pula menyertai pertandingan bola sepak. Pasukan JPN kalah 6-0 kepada remaja kg sawai. Ternyata mereka begitu hebat berbanding kami yang jarang-jarang bersukan.

Kami menaiki bot untuk melihat pandangan kg selepas penat menyertai sukaneka dan pertandingan bola sepak. Program diteruskan lagi dengan solat maghrib, kuliah maghrib,solat Isyak dan BBQ. Alhamdulillah kami kekenyangan pada malam tersebut menikmati udang galah. Begitu enak dan segar sekali.

Kemudian kami diagihkan kepada keluarga angkat. Saya bersama saudara Sofwan Abdullah tidur di rumah yang sama. Kami tidur lewat pada malam tersebut. Saudara Sofwan ingin berkongsi nikmat Islam dan Iman dengan keluarga angkat.'Program Tanyalah Ustaz' secara ulangan pada pukul 1-2 pagi dikendalikan oleh Saudara Sofwan. Saya hanya menjawab kemusykilan yang gagal dijawab oleh beliau. Saya dapat melihat kesungguhan beliau menyebarkan ilmu.

Keesokannya selepas solat subuh dan sarapan kami bertolak meninggalkan kg sawai pada 9 pagi. Pengalaman yang sungguh indah. Namun ekspedisi ini dianggap tidak berjaya jikalau tiada usaha berterusan daripada berwajib seperti JAIS dan Tabung Baitulmal Sarawak dalam memastikan penduduk Kg Sawai celik agama.

No comments: