Bulan Ramdhan datang lagi. Kedatangan yang sangat-sangat dinantikan oleh umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah. Kebaikan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan dilipat kali gandakan oleh Allah. Amalan sunat mendapat ganjaran wajib manakala amalan wajib dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda. Selain itu umat Islam ditawarkan dan dijanjikan bonus berganda iaitu lailatul qadar yang mana pahala beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu malam.
Puasa adalah ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam. Puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan maka segala dosa kita akan diampunkan oleh Allah. Puasa juga boleh melahirkan manusia yang bertaqwa.
Jikalau kita melihat dari aspek pendidikan, puasa mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dan hebat. Apabila kita ingin berpuasa keesokan hari maka kita wajib berniat pada malam hari. Mengapaka niat penting? Apabila kita ingin melakukan sesuatu maka kita perlu mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas. Pelajar tidak akan berjaya dalam pelajaran jikalau tidak mempunyai matlamat dan tujuan hidup. Kadang-kadang terdapat pelajar yang tidak tahu apakah tujuan mereka datang ke sekolah. Justeru tidak pelik mereka belajar sambil lewa kerana tidak mempunyai azam dan niat.
Puasa juga mengajar kita berdisiplin. Kita diajar menghargai masa. Jangan ditangguh-tangguhkan kerja. Aapabila masuk waktu berbuka kita disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Makruh hukumnya kita melewatkan waktu berbuka. Sama keadaannya apabila belajar. Jangan membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Guna masa sebaik mungkin. Siapkan kerja rumah tepat pada waktunya. Jangan tunggu hampir dengan peperiksaan baru kelam kabut membaca buku dan mengulang kaji pelajaran.
Selain itu, puasa juga mendidik kita menahan dan melawan kehendak nafsu. Jangan jadikan nafsu sebagai tuhan. Kita mampu dan hendak makan dan minum tapi kita tidak makan dan minum kerana kita patuh kepada perintah Allah. Pelajar ingin bersuka ria dan melepak namun mereka perlu melawan kehendak nafsu. Jangan diturutkan nafsu nanti anda akan lesu. Pelajar ingin tidur, menonton televisyen, melayari internet dan membuang masa bersama-sama kawan-kawan. Ini semua adalah tuntutan nafsu. Maka puasa mengajar kita khususnya pelajar jangan diturutkan nafsu tetapi berusahalah melawannya kerana anda akan mengetahui betapa nikmatnya kejayaan yang diperolehi hasil mujahadah tersebut.
Oleh sebab itu marilah kita berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Bukan puasa sekadar tidak makan dan minum sahaja namun yang lebih utama adalah berpuasa mata, telinga, lidah dan anggota badan serta hati daripada melakukan kemungkaran dan maksiat yang dibenci oleh Allah.
No comments:
Post a Comment