Wednesday, August 18, 2010
MARILAH KITA BERBUAT AMAL PADA BULAN RAMADHAN
Amat bertuah dan beruntung manusia yang mendapat rezeki melimpah ruah daripada Allah. Manusia yang beriman akan mengingati dan memahami bahawa dalam harta mereka terdapat hak orang-orang tertentu samada hak orang miskin yang meminta-minta atau pun yang tidak meminta-minta. Justeru, orang mukmin yang kaya akan menggunakan nikmat kekayaan tersebut untuk semakin dekat dengan Allah dengan cara menginfakkan harta mereka pada jalan Allah. Lihat sahaja sahabat-sahabat nabi seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Omar al- Khattab dan Saidina Abd Rahman bin Auf yang telah membelanjakan harta mereka untuk menolong fakir miskin dan perjuangan Islam yang mulia ini.
Sempena bulan ramadhan ini, terdapat sebuah hadith yang boleh menjadi motivasi kepada semua umat Islam untuk berbuat amal kebajikan. Rasulullah bersabda yang bermaksud :" Barang siapa yang memberi seseorang berbuka puasa maka dia akan mendapat pahala seperti mana pahala orang yang dia beri makan tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang berpuasa tadi". Namun bukan semua manusia yang mampu memberi makan untuk orang berbuka puasa. Kalau tidak mampu maka lakukanlah mengikut kemampuan masing-masing.
Saya secara peribadi tidak mampu memberi dan menyediakan juadah berbuka kepada orang-orang berpuasa dalam kapasiti yang besar. Saya hanyalah guru biasa di sekolah. Duit gaji hanya cukup untuk saya sekeluarga dan sedikit untuk perbelanjaan emak dan adik-beradik di kampung. Namun berkat nikmat ilmu yang Allah berikan kepada saya maka galakan Rasulullah tadi dapat dilaksanakan walaupun saya tidak mempunyai wang yang banyak.
Melalui platform Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak kami merancang akan mengadakan majlis berbuka puasa. Kami tidak mendapat geran daripada kerajaan. Kekangan kewangan tidak menjadi halangan kepada kami tetapi kami tukarkan masalah tadi untuk menjadikan kami lebih kreatif. Kami telah menghantar surat-surat memohon sumbangan kepada badan-badan korporat dan bank-bank.
Alhamdulillah hasil perbincangan panjang lebar dengan pegawai Kuwait Finance House, insyaallah satu Majlis Berbuka Puasa akan diadakan di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma untuk 200 orang jemaah. Majlis tersebut akan diadakan pada 29 Ogos 2010 nanti. Segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Kuwait Finance House.
Mudah-mudahan sedikit usaha yang kami lakukan akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Ameen...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment