Thursday, April 23, 2009

BAHANA MENJADIKAN NAFSU DAN SYAITAN SEBAGAI TUHAN



SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah. Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah. Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku. Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day). Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi. Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.
Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks. Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.

Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.
“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu. “Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria. “Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.
Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan. Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga. Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka. “Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah. “Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.
Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti. Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia. “Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih. “Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.
Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal. Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka. “Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran. “Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan... sudah macam suami isteri,” katanya.
Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan. “Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO). “Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak. Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin Kes pertama: SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini. Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun. Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama. Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus.
Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa. Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang. Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi. Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan. “Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara. “Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima. “Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang. Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua. INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester. Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun. Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya. “Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan. “Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ulasan saya

Hanya iman yang dapat mengawal manusia daripada melakukan perbuatan terkutuk. Iblis sentiasa menggoda manusia untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Manusia yang menjadikan iblis sebagai tuhan akan tewas dengan ujian dunia.

Selain peraturan syarak seperti batas pergaulan lelaki dan perempuan dan menutup aurat merupakan cara untuk mengatasi masalah ini. Justeru marilah kita kembali menghayati dan mengamalkan Islam nescaya kita akan selamat .

Wednesday, April 22, 2009

TUNTUTLAH ILMU AGAMA


Alhamdulillah semalam saya dapat menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Mujahidin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya. Walaupun agak penat dengan tugasan di sekolah, namun saya cuba kuatkan semangat demi agama Allah yang tercinta.

Kuliah semalam dihadiri oleh ramai polis pelatih. Mereka nampak segak memakai uniform baju kebangsaan. Saya membincangkan tajuk tentang ’mengapakah saya mesti menjadi muslim dalam berkeluarga’. Buku rujukan saya adalah buku yang berjudul apa ertinya saya menganut Islam karangan Ustaz Fathi Yakan.

Saya memulakan kuliah dengan menerangkan serba sedikit latar belakang penulis. Saya menegaskan penulis asalnya adalah seorang ahli kimia tetapi dengan minat yang mendalam, kesungguhan belajar dan keikhlasan menuntut ilmu, beliau mampu menjadi seorang ulama yang disegani oleh segenap masyarakat. Justeru saya berpendapat anggota polis juga mampu memahami Islam dengan baik jikalau mereka belajar bersungguh-sungguh. Gunakan masa pada sebelah malam antara maghrib dan isyak untuk menuntut ilmu agama Allah.

Dengan ilmu agama insyaAllah pegawai polis boleh menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan amanah. Mereka tidak akan menerima rasuah kerana benteng iman mereka kukuh tersemat di dalam jiwa mereka.

Saya juga memuji langkah PDRM menubuhkan Bahagian Agama dan Kaunseling(BAKA) untuk membentuk sahsiah anggota-anggota polis. Walaupun BAKA masih baru berbanding Kor Angkatan Tentera (KAGAT) tetapi BAKA diharapkan dapat berperanan menyemai nilai-nilai Islam di dalam diri anggota polis.

Mudah-mudahan langkah murni ini mendapat perhatian yang serius daripada pemimpin negara. Ingatlah tugas pemimpin adalah menegakkan agama Islam dan mentadbir dunia dan negara berpandukan agama Islam yakni Al-Quran dan As-Sunnah.

Saturday, April 18, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009



Semalam bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Pesta buku ini bermula mulai 17 April hingga 26 April 2009.

Alangkah gembiranya jikalau saya berada di KL. Saya begitu teruja dengan pesta buku. Tahun 2007 yang lepas saya sempat pergi ke Pesta Buku Islam Antarabangsa di Kelantan. Saya telah membelanjakan duit untuk membeli buku tafsir al-Munir karangan Syeikh Wahbah Suhaili, Hukum Solat Jamak dan Qasar karangan Prof Madya Dato’ Salleh Ahmad dan pelbagai buku yang lain.

Pada tahun ini saya melihat pelbagai judul buku yang menarik telah diterbitkan. Saya berhajat membeli buku-buku tersebut. Namun saya tidak berkesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada kali ini. Jikalau tidak tentu saya akan mendapat harga istimewa.

Saya mengharapkan Pesta Buku juga akan diadakan di Sarawak. Pembudayaan membaca buku perlu digalakkan kepada penduduk Sarawak. Dengan membaca buku kita akan dapat menambah ilmu. Selain itu, kita juga mendapat pelepasan cukai sebagai RM1000 apabila membeli buku. Ayuh kita semua menyahut perintah Allah supaya kita membaca dengan nama Allah.

NIK NUR MADIHAH MEMILIH JORDAN UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN


KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.

Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan.

Ulasan saya

Alhamdulillah adik Nik Nur Madinah memilih Jordan sebagai destinasi untuk melanjutkan pelajaran. Saya mendoakan beliau akan menjadi ahli fizik Islam. Kita begitu merindui saat-saat kegemilangan Islam muncul semula. Tokoh seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan al-Khawarizmi perlu dilahirkan semula di kalangan umat Islam.

Alangkah baiknya jika kita mampu melahirkan golongan profesional yang mempunyai pegangan agama yang kuat. Jikalau dia doktor, peguam, sainstis ataupun jurutera namun dalam masa yang dia mampu membaca al-Quran dengan baik, mampu menjadi imam, mampu berkhutbah dan menunujukkan akhlak sebagai seorang mukmin sejati.

Amat malang pelajar-pelajar yang bijak tetapi begitu lemah pegangan agama. Kita sedih melihat sebahagian pelajar kita belajar di Negara Eropah memilih untuk menyewa rumah dengan kawan yang berlainan jantina hanya dengan alasan untuk menjimatkan kos. Mereka bergaul dengan bebas. Sepatutnya mereka mengambil yang baik daripada barat bukan mengambil budaya songsang barat yang bertentangan dengan agama Islam.


Saya juga berharap adik Nik Nur Madihah akan mengambil peluang belajar di Jordan untuk bertemu dengan ulama'. Bertalaqqilah dengan ulama pada masa lapang ataupun semasa cuti semester. Kami berharap kepulangan beliau ke Malaysia akan memberi banyak manfaat kepada negara dan rakyat Malaysia.

Monday, April 13, 2009

HUKUM MEMBACA AL-QURAN OLEH BUKAN ISLAM



Surat Tuan Guru...

13 Rabiul Akhir 14309 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahteraYang Berhormat,Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *

(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan

Merangkap Mursyidul Am PAS

Ulasan saya

Amat malang keghairahan kita berpolitik sehingga menyebabkan kita melakukan kesilapan dalam bidang dakwah. Islam digambarkan dengan imej pengganas dan muslim pula bertindak mengikut emosi. Sepatutnya kita bertindak mengikut panduan akal yang waras dan pedoman wahyu yakni al-Quran dan Sunnah.

Minat bukan Islam untuk mendalami Islam akan terbantut jikalau kita bertindak sedemikian. Sepatutnya kita yang berusaha memperkenalkan al-Quran kepada mereka bukan kita pula yang menjadi penghalang kepada niat murni mereka untuk mendalami al-Quran.

Isu bacaan al-Quran oleh Setiausaha DAP Perak tidak perlu dijadikan isu politik kerana tiada nas yang jelas melarang orang bukan Islam membaca al-Quran. Berapa ramai orang barat memeluk Islam setelah mereka membaca dan menyelidiki isi kandungan al-Quran.

Jika kita melihat kisah pengislaman Saidina Omar Khattab juga berkait rapat dengan pembacaan al-Quran. Maklumat lanjut sila layari blog ust Syauqi, pensyarah UPM .

Sama-sama kita fikirkan..

SARAWAK BUMI YANG SUBUR UNTUK DAKWAH





Sarawak merupakan bumi yang subur untuk gerak kerja dakwah. Pelbagai program boleh diatur untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada penduduk di sini. Program-program ini boleh diadakan di masjid, surau, sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta. Rakyat Sarawak begitu dahagakan ilmu agama dan mutiara-mutiara ilmu daripada ustaz dan ustazah.

Namun kadang kala kita agak sedíh kerana sebilangan kecil sahaja ustaz, ustazah dan golongan agama yang terlibat dengan gerak kerja dakwah. Manakala yang lain mengambil sikap lihat dan memerhati dari jauh sahaja.

Sepatutnya semua pihak perlu berusaha memberi kefahaman agama kepada penduduk Sarawak. Jikalau kita tidak pandai berceramah, berkuliah atau memberi khutbah, mengapa tidak kita menjadi penganjur kepada program-program tersebut. Kita boleh berusaha mendapatkan penceramah, mengedar risalah tentang ceramah yang akan dijalankan ataupun menyediakan peserta untuk program tersebut. Jikalau kita terlibat dengan perniagaan secara sambilan, mengapa tidak kita jadikan dunia perniagaan tersebut sebagai medan dakwah. Keuntungan yang kita perolehi juga mengapa tidak kita salurkan sedikit untuk gerak kerja dakwah. Semua ini adalah kerja mulia yang insyaallah akan mendapat balasan pahala di sis Allah.

Ayuh kita gunakan peluang berada di bumi kenyalang ini untuk menggiatkan usaha dakwah memandangkan muslim adalah minoriti di sini serta tahap kefahaman mereka masih di peringkat sederhana dan lemah.

Thursday, April 2, 2009

NAK SENANG BUKAN SENANG TAPI NAK SUSAH BUKAN SUSAH



Tahniah diucapkan kepada adik Nik Nur Madihah, Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A iaitu 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan pendidikan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang daripada seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan berakhlak mulia.

Adik Nik Nur Madihah memberitahu kepada media bahawa beliau mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Pada hemat saya beliau bukan riak tetapi beliau ingin memberitahu kepada semua bahawa ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhankan aqal semata-mata (mereka adalah kumpulan sekular) sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya. Namun sangkaan tersebut telah dibuktikan tidak benar apabila adik Nik Nur Madihah menjelaskan antara tips kejayaan beliau ialah sentiasa puasa sunat Isnin dan Khamis.

Beliau juga membuktikan tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.

Inilah kejayaan dan kecemerlangan yang sebenar. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik tetapi menyecewakan dari segi akhlak dan moral. Selain itu kisah adik Nik Nur Madihah juga membuktikan kemiskinan dan kesusahan bukanlah penghalang daripada memperolehi kejayaan

CITA-CITA SAYA
Saya bukanlah pelajar cemerlang seperti adik Nik Nur Madihah tetapi saya pelajar biasa sahaja. Namun saya dapat mencapai kejayaan yang tidak seberapa ini kerana usaha dan azam yang bersungguh-sungguh. Saya masih ingat bagaimana semasa saya belajar di Maahad Mahmud dan di Universiti Malaya dahulu.

Memang menjadi cita-cita saya untuk mendalami ilmu Islam. Saya masih ingat saya ditawarkan memasuki kelas sains tulen di tingkatan 4 selepas saya mendapat keputusan cemerlang di dalam PMR tetapi saya menolak tawaran tersebut hanya semata-mata minat saya yang begitu mendalam kepada bidang agama. Kawan-kawan saya berlumba-lumba memohon memasuki kelas sains tulen pada waktu itu. Disebabkan saingan yang begitu sengit hanya pelajar yang mendapat 6A ke atas sahaja akan dipertimbangkan untuk memasuki aliran sains tulen. Aliran sains tulen mendapat tempat di hati pelajar kerana profesion doktor merupakan cita-cita kebanyakan rakan-rakan saya pada waktu itu.

Saya belajar di Tingkatan 4 Ekonomi. Matlamat saya jelas ingin mendalami ilmu agama sedalam-dalamnya. Selepas keputusan SPM diumumkan, saya berada dalam dilema. Saya bercita-cita menyambung pengajian di Timur Tengah. Namun dasar baru yang berperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada waktu itu iaitu hanya lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) sahaja boleh melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Timur Tengah menyebabkan cita-cita saya terpaksa ditangguhkan.

Saya sedikit terkilan. Walaupun saya antara pelajar cemerlang SPM 1999 namun saya tidak boleh belajar di Bumi Anbiya . Ini kerana sekolah saya tidak menawarkan peperiksaan STAM tetapi yang ditawarkan hanyalah Sijil Tinggi Agama (STA) yang dikendalikan oleh Majils Agama Islam Negeri Kedah. Saya tidak boleh belajar di Timur Tengah bukan kerana keputusan akademik saya yang teruk tetapi kerana dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan pada waktu itu.

Saya dengan hati yang berat mengisi borang UPU selepas mendapat nasihat daripada ibu bapa saya.Saya memilih Universiti Malaya kerana saya akan belajar selama dua tahun di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri. Ini adalah peluang keemasan kepada saya untuk menambah ilmu. Kelantan adalah bumi serambi Mekah. Ramai ulama yang berada di Kelantan. Banyak pusat-pusat pengajian dan pondok terdapat di Kelantan. Saya boleh belajar dengan ramai ulama selain kuliah wajib di APIUM.

Selepas 2 tahun di Kelantan,saya belajar pula di UM,KL. Walaupun sibuk dengan persatuan, namun semangat untuk mendalami ilmu agama masih menebal dalam diri saya. Saya mengambil peluang belajar di masjid-masjid pada waktu malam jikalau tiada urusan persatuan.

Pada cuti semester pula saya belajar di Maahad 'Ali Littafaquh Fiddin, Derang. Saya bertalaqqi dengan Syeikh Nuruddin Marbu Banjari, Ust Fahmi Zamzam dan Ust Aminuddin. Banyak kitab yang sempat saya habiskan ketika belajar di sini.

Keinginan menambah ilmu tidak berhenti walaupun sudah berkahwin dan bekerja. Walaupun sudah bergelar ustaz tetapi saya tetap belajar di masjid dan bertalaqqi dengan ustaz yang lebih arif. Insyaallah saya akan menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Syariah di UM pada bulan Jun nanti. Namun segala-galanya bergantung kepada permohonan saya berpindah ke KL. Jikalau permohonan ditolak, saya terpaksa menangguh dahulu pengajian master saya. Memang bukan senang nak senang......