Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Wednesday, May 6, 2009

4 HARI DI BANDARAYA KUALA LUMPUR


Pelbagai pengalaman dapat dikutip sepanjang berkursus selama 4 hari di Kuala Lumpur mulai 27 hingga 30 April 2009. Dalam kursus tersebut kami didedahkan dengan kepentingan sikap teliti, bertanggungjawab, adil, amanah dan menjaga rahsia.

Kami juga diingatkan supaya tugas tersebut jangan dianggap sebagai satu beban sehingga menggugat ketenteraman dan kebahagian rumah tangga. Pihak penganjur juga meminta kami yang terpilih nanti supaya sanggup berkorban masa cuti dan sebagainya demi tugas dan masa depan anak bangsa.

Pada sebelah petang saya dan rakan-rakan sempat meninjau bandaraya Kuala Lumpur. Masya-Allah begitu sibuk, jalanraya tidak pernah lengang dengan kenderaan. Namun yang kami sangat sedih dan kecewa jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib masih dipenuhi dengan aktiviti pelacuran. Tidak tahu dimana silapnya. Walaupun operasi sering dijalankan oleh pihak berkuasa tetapi aktiviti tidak bermoral ini bergiat aktif. Kawan saya mendapat pelawaan daripada seorang bapa ayam :”You mau main game ke? Muda-muda pun ada. You pilih mau China, Indon semua ada. You cakap aje”. Inilah gambaran aktiviti persundalan di Lorong Haji Taib. Saya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib supaya turun padang untuk meninjau keadaan tempat-tempat tersebut. Slogon beliau, Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan perlu direalisasikan.

Kesempatan berada di Kuala Lumpur juga digunakan untuk bertemu dengan rakan karib yang sedang menyambung pengajian di peringkat kedoktoran PhD di Universiti Malaya dalam bidang Hadith. Beliau sebaya dengan saya, belajar bersama-sama di Maahad Mahmud, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri dan juga UM,Kuala Lumpur. Namun berkat ketabahan, beliau telah mendapat Skim Latihan Akademik IPTA(SLAI) untuk menyambung PhD. Beliau begitu nekad menolak semua tawaran pekerjaan semata-mata minat dan cita-cita untuk mendapat PhD pada usia yang muda. Saya begitu dengan kagum beliau.

Walaupun pertemuan kami hanya sekejap namun saya begitu teruja dengan pertemuaan tersebut. Saya telah dapat memiliki buku yang telah menjadi idaman saya sebelum ini. Saya telah memesan kepada beliau supaya membelikan beberapa buah buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Antara buku yang berjaya saya miliki ialah Rindu Bau Pohon Tin, Bercinta Sampai ke Syurga dan Bidadari Dari Timur. Saya berterima kasih kepada beliau kerana sanggup bersusah payah membelikan buku-buku tersebut kepada saya.

Saya begitu dengan buku-buku tersebut. Waalupun sibuk dengan kursus namun saya menggunakan waktu lapang pada sebelah petang dan malam untuk membaca buku Rindu Bau Pohon Tin. Berkat kesungguhan saya mampu menghabiskan buku tersebut semasa di Kuala Lumpur lagi. Alhamdulillah.

Saya mengajak sahabat-sahabat budayakanlah membaca dalam hidup kita. Insyaallah kita akan mendapat pelabagai maklumat dan ilmu pengetahuan yang baru berkat daripada pembacaan buku. Jadikan buku sebagai teman hidup anda.

Thursday, April 23, 2009

BAHANA MENJADIKAN NAFSU DAN SYAITAN SEBAGAI TUHAN



SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah. Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah. Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku. Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day). Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi. Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.
Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks. Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.

Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.
“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu. “Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria. “Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.
Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan. Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga. Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka. “Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah. “Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.
Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti. Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia. “Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih. “Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.
Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal. Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka. “Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran. “Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan... sudah macam suami isteri,” katanya.
Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan. “Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO). “Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak. Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin Kes pertama: SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini. Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun. Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama. Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus.
Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa. Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang. Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi. Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan. “Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara. “Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima. “Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang. Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua. INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester. Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun. Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya. “Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan. “Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ulasan saya

Hanya iman yang dapat mengawal manusia daripada melakukan perbuatan terkutuk. Iblis sentiasa menggoda manusia untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Manusia yang menjadikan iblis sebagai tuhan akan tewas dengan ujian dunia.

Selain peraturan syarak seperti batas pergaulan lelaki dan perempuan dan menutup aurat merupakan cara untuk mengatasi masalah ini. Justeru marilah kita kembali menghayati dan mengamalkan Islam nescaya kita akan selamat .

Friday, March 27, 2009

YA ALLAH JADIKANLAH AKU ANAK SOLEH






Hampir 2 minggu blog ini tidak diupdate. Maaf kepada semua pengunjung. Sepanjang cuti sekolah selama seminggu, saya sibuk menjadi pemandu pelancong. Keluarga saya terdiri daripada emak, 2 orang adik, Mak Teh dan Mak Teh telah datang bercuti di kuching.

Jadual kami begitu padat. Keluar pagi dan balik ke rumah pada waktu malam. Keluarga saya sampai pada malam ahad. Keesokkannya selepas saya memberi kuliah subuh di Masjid Taman Sukma, kami pergi membeli- belah di Serikin. Mak teh dan Pak Teh shopping sakan. Keesokkannya pula kami pergi ke kedai pasu,tembikar dan perabot kayu jati di Kota Sentosa dan Kampung Haji Baki.

Pada hari Selasa, kami pergi ke Kampung Budaya, Santubong. Kami hanya bergambar di hadapan Kampung Budaya sahaja kerana bayaran yang dikenakan untuk memasuki Kampung Budaya adalah RM60 setiap seorang. Perjalanan pada hari itu hanya sehingga petang sahaja kerana saya terpaksa memberi Ceramah Maulidur Rasul di Masjid Mujahidin, Kompleks Polis Tabuan Jaya. Inilah kali pertama Pak Teh mendengar saya memberi ceramah. Berdebar-debar juga kerana Pak Teh ada di hadapan saya.

Hari Rabu, kami pergi ke Kampung Pelanduk, Sadong Jaya untuk menziarahi keluarga Pak Tam Ismail sepupu ayah. Inilah tuntutan kepada setiap anak, menghubung silaturrahim dengan keluarga dan kawan ibu bapa selepas kematian ibu bapa yang tercinta.
Saya mengambil ujian PTK pada hari Khamis. Oleh sebab itu, kami hanya berjalan-jalan di sekitar water front dan India Street pada sebelah petang. Pada hari jumaat, kami pergi membeli ikan terubok di Pasar Tamu Satok dan sekali lagi kami pergi ke kedai pasu dan perabot kayu jati untuk membeli barang-barang sebelum keluarga saya berlepas pulang ke Kedah pada sebelah malamnya.
Memang memenatkan tapi menyeronokkan. Saya dan isteri berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan yang terbaik kepada keluarga saya. Inilah saat dan ketika saya membuktikan saya adalah anak soleh yang dapat membahagiakan mak dan ayah. Ilmu agama yang saya pelajari bukan untuk dijawab di dalam dewan peperiksaan dan untuk mendapat segulung ijazah sahaja tetapi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Sebagai muhasabah untuk semua, bagaimanakah hubugan kita dengan ibu bapa kita? Adakah setiap pagi sebelum ke sekolah kita peluk dan cium tangan ibu bapa kita? Adakah kita sentiasa menghubungi ibu bapa apabila berjauhan ataupun kita lebih suka menelefon teman wanita? Adakah kita sentiasa mendoakan mak dan ayah kita selepas solat? Adakah kita pernah berdakwah kepada mak dan ayah kita yang mungkin lalai daripada mengingati Allah?
Allah berfiraman di dalam Al-Quran yang bermaksud :" dan tuhan kamu telah mewajibkan janganlah kamu menyembah selain Allah dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik..."
Rasulullah bersabda yang bermaksud :"sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamu'. Jadikanlah amalan kita berdoa kepada Allah seperti yang di dalam Al-Quran :"Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat yang menyejukkan mata serta jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa"

Wednesday, March 11, 2009

ANTARA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN ITTIBA' SUNNAH





Alhamdulillah pada 9 Mac yang lepas kita dapat bersama-sama menyambut Maulidur Rasul. Pelbagai acara diadakan untuk menyatakan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah. Namun kita perlu bermuhasabah adakah sambutan kita setiap tahun hanya tinggal sekadar sambutan sahaja. Akan tetapi kita masih lagi belum mengikut sunnah Rasullulah.

Ibu bapa juga sepatutnya memperkenalkan kepada anak-anak dengan peribadi, akhlak dan perjuangan Rasulullah. Mungkin sebelum ini kita lebih banyak mendedahkan anak-anak kita dengan cerita rakyat seperti sang kancil dengan buaya dan arnab dengan kura-kura. Sepatutnya menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak mereka supaya mencintai Rasulullah dan ahli Bait. Rasulullah telah bersabda : "Ajarkan anak kamu tiga perkara; ajarkan mereka supaya cintakan nabi, cintakan keluarga nabi dan ajarkan mereka al-Quran”. (riwayat at-Tabrani)

Setiap umat Islam sepatutnya memiliki kitab As- Syamail al- Muhammadiah. Kitab ini menerangkan secara perinci tentang sifat fizikal Rasulullah, makanan, minuman kegemaran Rasulullah, pakaian dan pelbagai lagi. Isteri saya bertanya :"boleh percaya ke abang? tak menyeleweng ke?" Isteri saya bimbang bahan bacaan seperti itu boleh menyebabkan kita sesat. Saya tersenyum. Saya menjawab :"tak, buku ini diakui benar oleh semua ulama. Kitab ini adalah karangan ulama muhadtith yang terkenal, Imam Tirmizi. Ulama memuji kitab ini dengan berkata :"sesiapa yang mengkehendaki Rasulullah ada di dalam rumahnya maka milikilah kitab as-Syamail al- Muhammadiah. Buku ini abang beli ketika belajar di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan. Abang beli buku ini kerana nak belajar dengan Syeikh Nuruddin Marbu Banjari Makki. Namun tak kesampaian kerana beliau tidak mendapat visa untuk menetap di Malaysia. Jadi beliau terpaksa pulang ke Indonesia".

Kita juga perlu menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Rasulullah. Pihak musuh Islam amat dengki dan cenburu kepada peribadi dan kehebatan Rasulullah. Mereka menuduh Rasulullah sebagai gila seks dan kaki perempuan kerana baginda mempunyai ramai isteri. Mereka memfitnah Rasulullah sebagai pilih kasih dan memandang hina kepada orang tua hanya semata-mata melihat secara rambang peristiwa antara Rasulullah dan Abdulullah b Maktum.
Rasulullah merupakan contoh teladan dan idola kepada umat Islam. Firman Allah s.w.t : al-Ahzab :21“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Namun kita sedih remaja masa kini lebih berminat menjadikan artis sebagai idola. Mereka mengenali artis tetapi tidak mengenali peribadi agung Rasulullah.
Baginda Rasulullah mempunyai akhlak yang mulia. Firman Allah s.w.t :al-Qalam :4“Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia”. Justeru marilah kita mencontohi akhlak Rasulullah dan mengikut sunnah baginda. Milki kitab-kitab hadith seperti sohih Bukhari, sohih Muslim, sunan Tirmizi, sunan Abu Daud, sunan An-Nasaie,sunan Ibnu Majah, Muwatta' Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad Hanbal. Mudah-mudahan kita akan mendapat syafaat baginda pada hari kiamat nanti. Amin...

Tuesday, March 3, 2009

DOA-DOA YANG MA'THUR





Minggu lepas, Kak Hazlina bertanya kepada saya tentang doa yang terdapat di dalam buku majmu' syarif. Buku ini telah lama berada di pasaran. Ramai orang Melayu menjadikan buku ini sebagai bahan utama untuk beribadat dan berdoa kepada Allah.

Keesokannya pula Kak Hamidah bertanya persoalan yang sama. Kak Hazlina dan kak Hamidah memang menggunakan buku ini untuk berdoa kepada Allah khususnya selepas solat. Buku ini juga terdapat di rumah saya di kampung. Mungkin emak saya juga menggunakan buku ini sebagai panduan untuk berdoa.

Saya pernah melihat muka depan majalah I di dalam internet. Salah satu tajuk di dalam majalah ini ialah berkaitan dengan analisis ilmiah berkaitan buku majmu' syarif. Saya cuba mencari majalah I di pasaran, namun tidak terdapat di sekitar Bandaraya Kuching.

Saya cuba membaca isi kandungan buku tersebut. Hasil penelitian saya sekali imbas, buku tersebut tidak terdapat kesalahan. Namun tiada nama penulis pula pada buku tersebut.

Namun yang menimbulkan sedikit keraguaan di hati saya ialah gelaran kepada Nabi Isa adalah Ruhullah. Setahu saya nabi Isa digelar al- Maseh. Di dalam al- Quran hanya disebut Isa Ibnu Maryam setahu saya. Saya bukanlah al- Hafiz yang mengetahui semua isi kandungan al- Quran.

Pada pagi ini, saya bersempatan bertanya kepada Ustaz Wan Zul, Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Muazdam Shah (POLIMAS), Kedah. Dahulu beliau berkhidmat di Politeknik Kuching. Apabila timbul kemusykilan agama, antara ustaz yang saya selalu rujuk adalah Ustaz Wan Zul. Beliau juga merupakan guru saya disamping sebagai sahabat. Pada pagi Ahad, saya akan meluangkan masa untuk belajar Qawaid Fiqhiyyah dengan beliau.

Menurut Ustaz Wan Zul, Nabi Isa juga digelar Ruh al - Qudus di dalam surah Al-Baqarah ayat 253. Saya tidak sempat melihat tafsir pada hari ini. Insyaallah saya akan merujuk kepada tafsir al- Munir dan ringkasan tafsir ibnu Kathir yang terdapat di perpustakaan peribadi rumah saya.

Untuk kepastian, saya bertanya juga kepada Ustaz Hassan Basri, guru di SM Teknik Sejingkat. Beliau juga merupakan kawan dan guru saya. Menurut beliau, memang Nabi Isa juga digelar ruhullah. Namun kita kena berhati-hati memahami gelaran ini kerana orang Kristian memutar belitkan gelaran ini. Mereka beranggapan Nabi Isa sebagai tuhan dan anak tuhan. Mereka berpegang kepada kepercayaan Triniti. Alhamdulillah saya mendapat jawapan yang pasti dan menyakinkan saya.

Saya menasihati dan mencadangkan kepada Kak Hazlina dan Kak Hamidah supaya membaca buku-buku karangan Ustaz Zahazan Mohammad, pensyarah UIA. Doa-doa yang beliau kumpulkan adalah daripada al- Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Doa-doa ini disebut sebagai ma'thur.

Saya juga mencadangkan Kak Hazlina dan Kak Hamidah menjadikan al- Mathurat karangan Imam Hassan Al- Banna sebagai amalan. Jikalau mempunyai kemampuan membaca kitab Arab, kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi sangat baik untuk dijadikan sebagai amalan. Kitab ini juga adalah koleksi doa-doa yang yang ma'thur daripada al- Quran dan Hadith. Saya tidak pasti samada kitab ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ataupun belum.

Moralnya, apabila terdapat kemusykilan bertanyalah kepada orang yang lebih arif dan alim daripada kita. Jangan malu belajar walaupun kita sudah besar dan mempunyai kedudukan disisi masyarakat. Yang kedua, rajinlah membuat penyelidikan dan membaca buku. Ketahuilah sesungguhnya ilmu Allah itu Maha Luas. Ketig, bersahabat dengan alim ulma. Insyaaalh kita akan mendapat keberkatan daripada ilmu meraka.




Wednesday, February 25, 2009

AJAL DATANG TANPA DIJEMPUT


Allah Maha Berkuasa. Semua perkara di alam ini dibawah pentadbiran Allah. Planet, bintang , bulan dan matahari beredar dan berputar mengikut Sunnatullah. Semua taat dan patuh dengan perintah Allah.

Perkara ghaib juga hanya diketahui oleh Allah. Manusia tidak mengetahui bila ajal kematian kita. Dimanakah kubur yang akan menjadi tempat kediaman kita.

Pagi tadi dalam lingkungan pukul 8.30 pagi handphone saya berbunyi. Tertera di skrin handphone saya nama Ustaz Din, pensyarah Polteknik Kuching. Ust Din memulakan bicara : " Assalamualaikum syeikh. Nta kat mana? Ana kat sekolah. saya menjawab. Nta tolong bagitau kak Orwah, suami dia pengsan di Poli. Kami dah telefon ambulans, sekarang tengah tunggu ambulans la untuk bawa dia ke Hospital Umum. Tapi nta bagitau elok-elok kat kak Orwah, nanti dia yang pulak yang pengsan". Pesan ust Din.

Selepas meletak telefon, saya bergegas ke pejabat am sekolah. Saya bertanya kepada kak Saerah : " mana kak Orwah? Kak Saerah menjawab :"Kak Orwah pergi Sibu. Esok baru balik"." Yeke. Takpelah. Saya nak bagitau suami kak Orwah pengsan kat Poli".

Saya segera menelefon isteri. " Sayang kat kantin ke? Anak kak Orwah ada tak? Bagitau kat dia, ayah dia pengsan kat Poli. Ust Din telefon abang sekejap tadi". Isteri saya menjawab :" Faraha kat bilik SPBT. Yeke, jom kita jumpa dia sekarang". Saya dan isteri segera ke bilik SPBT. Saya memberitahu hal yang berlaku ke atas ayah beliau. Beliau menangis. Saya cuba menenangkan beliau. Kemudian saya meninggalkan isteri dan Fariha kerana saya ada kelas dengan 5PM/PD.

Saya mula mengajar selepas bertanya khabar semua. Tajuk pada hari ini ialah ajaran sesat. 10 minit mengajar, handphone saya berbunyi lagi. Kali ini ustaz Din memaklumkan doktor telah mengesahkan suami kak Orwah sudah meninggal dunia. INNALILLAH WAINNA ILAIHI RAAJI'UUN.

Saya segera menelefon isteri. " Sayang kat mana" " Sayang kat bilik SPBT" Isteri saya menjawab. Tiba-tiba perbualan kami terputus. Bateri handphone isteri saya habis. Saya meminta pelajar menyalin nota. Saya keluar sekejap untuk memberitahu tentang kematian suami kak Orwah kepada isteri.

Selepas memberitahu, isteri saya bersama-sama Juahir pergi ke Hospital Umum untuk mengambil Fariha. Kemudian mereka bersama-sama pergi ke Politeknik untuk menziarahi jenazah. Saya pula masuk kembali ke dalam kelas untuk menyambung pengajaran.

Sahabat-sahabatku, sedarlah bahawa kematian amat dekat dengan kita. Bila-bila saja kita akan dijemput oleh Allah. Sudahkah kita bersedia untuk berjumpa dengan Allah. Bagaimnakah dengan amalan ibadat kita. Solat kita bagaimana? Hubungan kita dengan Allah macam mana? Hisablah sebelum kita dihisab oleh Allah

Tuesday, February 24, 2009

Nikmat Iman dan Islam


Kita bertuah kerana kita dilahirkan sebagai muslim. Mak dan ayah kita seorang muslim. Jadi kita mewarisi keislaman ayah dan mak kita. Kadang-kadang kita kurang menghargai nikmat iman dan Islam kerana kita mendapat kedua-duanya dengan mudah. Kita menjadi muslim baka tetapi dari segi penghayatan dan pengamalan kita jauh daripada ajaran Islam. Akidah kita lemah, ibadat kita pinggirkan dan akhlak kita tidak melambangkan sebagai muslim dan muslimah sejati.
Sedangkan sahabat-sahabat dahulu bersusah payah untuk mendapat hidayah. Mereka merantau jauh untuk mendapat ilmu dan hidayah. Hidayah perlu dicari. Kita mesti membanyak doa kepada Allah.
Semalam 23 Februari, ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim, YB Zulkifli Nordin mengatakan kerisauan kerana di Wilayah Persekutuan tiada peruntukan undang-undang untuk menyekat umat Islam daripada murtad. Ajaran dan dakyah agama lain juga boleh disebarkan di kalangan umat Islam di Wilayah Persekutuan. Ini sesuatu yang amat membimbangkan di saat umat Islam begitu lemah dari segi pegangan agama.
Kita melihat kembali kes Lina Joy yang sanggup murtad dengan menjual iman dengan begitu murah hanya semata-mata cintakan kekasih berbangsa India yang beragama Kristian. Aduhai lemahnya iman Lina Joy. Kalau dulu ustaz-ustaz selalu menyebut : " Iman umat Islam senipis kulit bawang" tapi ungkapan ini perlu ditukar kepada : " Iman umat Islam senipis bulu dada lelaki".
Saya amat bimbang dengan situasi ini. Pelajar kita di sekolah begitu lemah pengetahuan agama. Penghayatan lagi-lagi menyedihkan...