Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, April 18, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009



Semalam bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Pesta buku ini bermula mulai 17 April hingga 26 April 2009.

Alangkah gembiranya jikalau saya berada di KL. Saya begitu teruja dengan pesta buku. Tahun 2007 yang lepas saya sempat pergi ke Pesta Buku Islam Antarabangsa di Kelantan. Saya telah membelanjakan duit untuk membeli buku tafsir al-Munir karangan Syeikh Wahbah Suhaili, Hukum Solat Jamak dan Qasar karangan Prof Madya Dato’ Salleh Ahmad dan pelbagai buku yang lain.

Pada tahun ini saya melihat pelbagai judul buku yang menarik telah diterbitkan. Saya berhajat membeli buku-buku tersebut. Namun saya tidak berkesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada kali ini. Jikalau tidak tentu saya akan mendapat harga istimewa.

Saya mengharapkan Pesta Buku juga akan diadakan di Sarawak. Pembudayaan membaca buku perlu digalakkan kepada penduduk Sarawak. Dengan membaca buku kita akan dapat menambah ilmu. Selain itu, kita juga mendapat pelepasan cukai sebagai RM1000 apabila membeli buku. Ayuh kita semua menyahut perintah Allah supaya kita membaca dengan nama Allah.

Tuesday, March 31, 2009

MELAHIRKAN GENERASI AL-QURAN YANG UNIK




Al-Quran merupakan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W. Mukjizat ini kekal sehingga ke hari Kiamat dan kita dapat melihat dan mengkaji betapa agung dan hebatnya mukjizat Al-Quran. Isi kandungan Al-Quran tidak mampu ditiru dan diubah oleh mana-mana manusia. Bahasa Al-Quran begitu indah dan isi kandungannya mengandungi pelbagai jenis ilmu. Allah mencabar manusia untuk mencipta satu ayat atau surah yang standing dengan Al-Quran namun sehingga ke hari ini tiada seorang pun manusia yang mampu meniru kehebatan Al-Quran. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 23 hingga 24 yang bermaksud :”Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) - dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir”.

Tanggungjawab setiap ibu bapa mengajar anak tentang Al-Quran. Anak-anak perlu didedahkan semenjak kecil lagi dengan Al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Ajarkanlah anak-anak kamu dengan tiga perkara iaitu mencintai nabi kamu, membaca Al-Quran dan mencintai keluarga Rasulullah”.

Namun malang pada hari ini, ibu bapa kurang mementingkan soal pendidikan Al-Quran. Mereka kurang bimbang apabila anak-anak mereka kurang mahir membaca Al-Quran tetapi amat bimbang dan susah hati apabila anak-anak mereka ketinggalan dan lemah dalam pencapaian akademik. Mereka akan berusaha mendapatkan tuisyen untuk anak-anak mereka bagi mengatasi masalah anak mereka yang lemah dalam subjek-subjek akademik. Saya tidak mengatakan tindakan ini salah tetapi mengapa tindakan yang sama diambil apabila anak mereka tidak dapat membaca Al-Quran.

Kita bertanggungjawab melahirkan generasi Al-Quran yang unik seperti yang telah ditegaskan oleh Sayyid Qutub. Justeru itu, kita perlu mengambil peluang daripada program J-Qaf di sekolah-sekolah rendah untuk menyemai perasaan cinta kepada Al-Quran. Pelajar akan didedahkan dengan Al-Quran semenjak kecil lagi. Manakala di peringkat sekolah menengah pula terdapat Majlis Tadarus Quran (MTQ). Antara acara yang dipertandingkan adalah tilawah Al-Quran kategori lelaki dan perempuan serta hafazan kategori lelaki dan perempuan. Semua ini merupakan usaha murni yang patut dipuji oleh semua lapisan masyarakat dan digunakan sepenuhnya untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran.

26 Mac yang lepas merupakan detik yang bersejarah kepada SM Teknik Kuching kerana berjaya merangkul tempat ketiga bagi kategori perempuan untuk acara Tilawah Al-Quran. Saudari Nur Bazilah bt Banyuk dari kelas 5PM membuktikan pelajar sekolah menengah biasa juga boleh menguasai Al-Quran dengan baik. Al-Quran bukan milik ustaz,ustazah dan pelajar-pelajar sekolah agama sahaja.
Namun semua umat Islam boleh menguasai Al-Quran jikalau belajar dengan bersungguh-sungguh.

Jadikan cita-cita setiap ibu bapa untuk melahirkan seorang hafiz atau hafizah daripada keluarga mereka. Negara amat memerlukan golongan doktor, jurutera, peguam dan golongan-golongan profesional yang hafiz dan mahir Al-Quran.

Monday, February 23, 2009

AMALAN MEMBACA BUKU


Alhamdulillah sebulan yang lepas, saya dapat menghabiskan membaca buku Anakku Hebat Anakku Soleh karangan Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Buku ini begitu baik untuk setiap ibu bapa. Untuk mendidik anak memerlukan kepada ilmu dan kemahiran. Buku ini adalah hasil olahan dan ringkasan dari buku tarbiyyatul aulad karangan Syeikh Nasih Ulwan.
Kawan mengusik saya :' Ustaz tak sabar nak dapat anak ke?. Awal-awal dah baca buku ini.' Itu situasi biasa di sekolah saya. Namun itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk menghabiskan semua bab di dalam buku ini.
Jadikanlah buku sebagai teman hidup kita. Dalam sebulan berapa buah bukukah kita telah baca dan khatam. Mengapa kita boleh menghabiskan berjam-jam di hadapan tv atau mendengar radio tetapi kita begitu sukar menghabiskan masa lapang untuk membaca buku. Sedangkan dengan membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Pelajar-pelajarku, jadilah anda sekalian sebagai penggemar buku. Buku sentiasa di tangan anda bukan handfhone. Anda boleh berbalas sms, menghabiskan duit untuk membeli prepaid tetapi anda begitu kedekut unutuk membeli buku dan majalah ilmiah.
Kita malas membaca buku. Untuk menulis buku mungkin hanya satu mimpi dan angan-angan sahaja untuk kita. Contohilah ulama-ulama silam yang banyak menulis buku. Hasil karangan mereka sangat berguna kepada kita. Inilah yang dinamakan sebagai ilmu yang bermanfaat.
Untuk peringkat permulaan, kita jadikan membaca buku sebagai hobi. Sediakan sedikit ruang di rumah kita sudut untuk buku. Jadikan ia sebagai perpustakaan peribadi.
Renungkanlah sesungguhnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah adalah berkaitan dengan amalan membaca. Bukan hanya membaca sahaja tetapi diikuti dengan budaya penyelidikan. Selepas itu kita akan berupaya dan mampu menghasilkan buku. Inilah saham akhirat kita selepas kita meninggal dunia. Walaupun kita telah meninggal dunia tetapi pahala masih lagi sampai kepada kita.
Ayuh kita semua jadilah umat Islam yang hebat.

Saturday, February 14, 2009

CINTA VS CGPA



Khamis yang lepas, 12 Feb saya telah dijemput menjadi ahli panel untuk forum yang diadakan di Dewan Serbaguna Politeknik Kuching. Forum bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pada pukul 4.15 petang. Forum ini mendapat sambutan hangat di kalangan mahasiswa Jabatan Perdagangan. Pelbagai persoalan menarik daripada moderator dan mahasiswa Politeknik diutarakan kepada ahli panel.

Antara soalan kepada saya, bolehkah bercinta sebelum berkahwin?Kalau boleh, adakah ia sebagai membuka pintu kepada perzinaan. Sedangkan Allah menegah kita daripada menghampiri zina. Jikalau tidak boleh bercinta, bagaimanakah kami hendak berkahwin? Saya cuba memberi penjelasan kepada hadirin. Istilah bercinta sebelum berkahwin perlu ditukar kepada 'berkenalan' sebelum berkahwin. Ini yang lebih tepat. Rasulullah memerintahkan setiap lelaki yang hendak berkahwin hendaklah melihat perempuan yang hendak dipinang. Hukum melihat bakal tunang adalah sunat. Dalam tempoh bertunang perlu dijaga adab-adab antara seorang lelaki dan perempuan. Tidak boleh keluar berdua-duaan, berpegangan tangan dan sebagainya. Jadi tidak timbul lagi persoalan bercinta sebelum berkahwin.

Soalan kedua yang agak menarik, mengapakah 'tidak' boleh bercinta sebelum berkahwin? Sedangkan cinta akan memberi kami semangat untuk belajar. Sebelum bercinta kami malas belajar tetapi selepas kami mempunyai teman istimewa kami begitu semangat belajar. Jadi dimana salahnya bercinta semasa belajar? Saya tersenyum mendengar soalan in. Saya cuba memberi pendapat tentang persoalan ini. Mungkin betul cinta akan memberi motivasi kepada kita untuk belajar tetapi cuba bayangkan bagaimanakah keadaannya bila kamu putus cinta? Nescaya kamu kita dapat belajar. Kamu jadi kelam kabut, tidak terurus, susah hati dan sedih. Ini semua disebabkan putus cinta. Mungkin tidur tidak lena, makan tidak kenyang tapi mandi tetap basah. Saya cuba berjenaka dengan hadirin.

Selain itu antara soalan yang agak menarik adalah perlukah kami yang sudah mempunyai teman istimewa memutuskan perhubungan dengan si dia? Daripada penjelasan ustaz, macam tak boleh bercinta je? Bagaimanakah perasaan kawan istimewa saya ini? Saya bimbang dia akan menuduh saya sebagai playboy.Saya bimbang akan tertekan. Pelajar ini dalam dilema dan kebingungan. Saya sekali lagi cuba menjawab kekeliruan ini. Kamu semua tidak perlu memutuskan perhubungan dengan kawan istimewa kamu. Tapi kamu perlu memberitahu dia bahawa sekarang masa untuk kamu menumpukan kepada pelajaran dan akademik. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercinta. Insyaallah selepas tamat pengajian, kamu akan menghantar rombongan untuk meminang si dia.

Kesimpulannya bercinta merupakan fitrah dan naluri semulajadi semua manusia. Cuma yang penting bagaimanakah kita menguruskan cinta supaya kita tidak melanggar syariat dan kecewa pada kemudian hari.