Monday, July 19, 2010

ALLAH MAHA BERKUASA



Allah akan menguji manusia dengan pelbagai cara untuk menilai iman dan takwa mereka. Kadang-kadang Allah menguji manusia dengan kekayaan, kemiskinan, pangkat, kesihatan dan penyakit. Amat aneh kekuatan yang ada kepada orang mukmin. Setiap musibah yang menimpa mereka adalah kebaikan. Apabila mereka diuji dengan kesusahan, mereka akan bersabar dan apabila mereka diuji dengan kesenangan dan nikmat maka mereka akan bersyukur.

Nabi Zakaria dan Nabi Ibrahim diuji oleh Allah dengan anak. Mereka berkahwin begitu lama namun belum dikurniakan anak. Mereka begitu mengimpikan zuriat yang akan meneruskan perjuangan suci mereka. Namun Allah ingin menguji kesabaran mereka berdua.

Nabi Zakaria berdoa dan bermunajat kepada Allah siang dan malam. Beliau hampir berputus asa apabila doa baginda belum dimakbulkan oleh Allah. Isteri baginda pada waktu itu telah putus haid dan terlalu tua. Jikalau menurut ilmu perubatan, mustahil seorang wanita akan melahirkan anak pada usia seperti itu.

Namun Nabi Zakaria semakin yakin dengan kuasa Allah. Baginda akan mendapat zuriat yang diimpikan sekian lama. Hal ini berlaku setelah baginda memasuki mihrab dan baginda mendapati rezeki di sisi Maryam. Buah-buahan bukan pada musimnya. Baginda bertanya kepada Maryam dari mana beliau mendapat buah tersebut. Maryam menjawab Allah mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa hisab.

Apabila Nabi Zakaria mendengar jawapan Maryam maka baginda bersemangat kembali. Beliau yakin tidak lama lagi Allah akan mengurniakan anak kepada baginda walaupun isteri baginda telah tua.

"Ya Allah, kurniakan zuriat yang baik dari sisi Engkau, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar permintaan kami". "Ya Allah jangan engkau biarkan kami keseorangan(terputus keturunan), sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mewariskan"

No comments: