Thursday, July 8, 2010

MISI MAVI MARMARA : YA ALLAH BANTULAH UMAT ISLAM PALESTIN



Alhamdulillah petang semalam saya telah ditaqdirkan oleh Allah untuk bersama-sama dalam Program Israk Mijrak anjuran Jabatan Pelajaran Sarawak Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Dewan HIKMAH. Penceramah jemputan pada petang itu adalah Ust Hasanuddin bin Yunus,Pengerusi Aqsa Syarif Berhad. Beliau merupakan salah seorang daripada aktivis kemanusiaan yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang telah diserang oleh komando Israel.

Ceramah beliau berkisar kepada 3 isi iaitu tentang Israk Mijrak, Palestin dan pengalaman beliau di atas kapal Mavi Marmara.Beliau mengingatkan para penceramah dan pendakwah supaya menyentuh tentang Palestin apabila berceramah Israk Mijrak. Masjid Aqsa adalah masjid yang ketiga termulia di dalam Islam. Bersolat di dalamnya mendapat ganjaran 500 kali ganda berbanding bersolat di tempat-tempat lain.Masjid Aqsa juga adalah qibat pertama bagi umat Islam. Masjidil Haram adalah lambang keasyikan umat Islam beribadat kepada Allah, Masjid Nabawi lambang kecintaan umat Islam kepada Rasulullah manakala Masjid Aqsa lambang pengorbanan dan semangat jihad.

Sekarang bumi Palestin telah dirampas dan dikuasai oleh Israel Laknatullah. Negara haram Israel telah diisytiharkan pada tahun 1948 dan Israel menguasai sepenuhnya bumi Baitul Maqdis pada tahun 1967. Umat Islam kini hanya boleh tinggal di Tebing Barat dan Gaza. Israel dikelilingi oleh empat jiran negara Arab iaitu Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria. Namun begitu malang sekali apabila negara-negara Arab berjumlah 22 buah tidak bersatu hati membantu umat Islam Palestin.

Pada akhir ceramah beliau, Ust Hasanuddin menyentuh tentang pengalaman beliau di atas kapal Mavi Marmara. Kapal Mavi Marmara mempunyai 3 misi utama iaitu menghantar bantuan makanan,ubat-ubatan dan bahan binaan secara besar-besaran ke Gaza. Misi kedua pula adalah membuka laluan terutama laluan laut untuk membolehkan barang-barang bantuan dihantar kepada penduduk Gaza. Misi yang ketiga pula adalah membuka mata dunia tentang penderitaan yang sedang ditanggung oleh rakyat Gaza hasil keganasan dan kezaliman Israel.

Semasa di atas kapal, beliau bersama-sama aktivis yang lain telah ditarbiyyah oleh Allah dengan menjaga solat berjemaah, membaca Al-Quran dan mathurat serta berqiamullail. Mereka begitu menjaga hubungan dengan Allah kerana mengambil teladan daripada kisah Salahuddin al-Ayubbi bersama-sama tenteranya yang telah berjaya membebaskan bumi Baitul Maqdis daripada penguasaan tentera Salib. Selain itu mereka juga ditarbiyyah supaya bertolak ansur walaupun berbeza pendapat dalam perkara kecil kerana mereka mempunyai tujuan yang lebih besar dan utama.

Saat yang tidak dapat dilupakan oleh beliau adalah saat Allah menghantar angin sebagai "tentera" dengan membawa lari gas pemedih mata yang dilontarkan oleh Komando Israel. Selain itu peristiwa yang amat menyentuh hati adalah ketabahan seorang isteri ketika melihat suami mati syahid. Pada awalnya wanita tersebut menangis teresak-esak setelah suami ditembak namun bertukar perasaan dengan tiba-tiba apabila doktor memaklumkan bahawa suami beliau telah syahid. Beliau begitu bersyukur kepada Allah kerana cita-cita suami beliau untuk syahid telah dimakbulkan oleh Allah.

Kita sebagai umat perlu sensitif tentang isu Palestin. Apakah tindakan yang boleh kita lakukan untuk menolong umat Palestin? Banyakkan doa, hulurkan bantuan kewangan seperti menaja anak yatim Palestin dan memboikot produk yang memberi sumbangan kepada Israel. 4 produk yang tiada "khilaf" tentang sumbangan mereka kepada Israel adalah Mc Donald, Loreal, Coca-Cola dan Nestle. Ingatlah pesanan ulama : " Anda tidak mati jikalau memboikot produk tersebut tetapi ingat umat Palestin akan mati dengan pembelian anda".

No comments: