Friday, July 16, 2010

IMARAHKAN RUMAH-RUMAH ALLAH

Pada malam jumaat yang lepas saya telah memberikan ceramah di Masjid Kg Kolong 2. Masjid ini terletak kira-kira 20 minit dari Taman Matang Jaya. Namun yang sedihnya tiada program ilmu di masjid tersebut. Hanya majlis bacaan Yaasin diadakan pada setiap malam jumaat.

Manakala pada Sabtu 10 Julai yang lepas, saya mendapat undangan memberi ceramah Israk Mikraj di Surau Kg Paroh. Pada asalnya saya telah bersetuju untuk memberi ceramah di Surau Gita. Namun pihak penganjur telah menunda ceramah tersebut ke tarikh yang lain pula. Maka sebagi gantinya saya telah bersetuju menerima jemputan memberi ceramah di Kg Paroh. Namun disebabkan maklumat kurang jelas, saya telah tersalah surau. Pada malam tersebut saya telah memberi ceramah di Surau Kg Sejijak. Apabila sampai di surau, saya bertanya jemaah adakah mereka mengenali 'orang tengah'. Ini kerana saya difahamkan pihak penganjur meminta bantuan 'orang tengah' untuk mengundang saya. Mereka menjawab mereka mengenali individu tersebut. Maka saya yakin bahawa saya telah sampai di tempat yang betul. Selepas saya memberi ceramah, saya berbual-bual dengan jemaah surau. Mereka memaklumkan sudah lama tiada majlis ilmu di surau mereka. Mereka amat dahagakan ilmu agama. Saya merasa puas kerana dapat berkongsi ilmu dengan mereka pada malam tersebut.

Apabila sampai di rumah, lebih kurang pukul 1030 malam saya telah mendapat panggilan daripada 'orang tengah' kepada penganjur program tersebut. Beliau memberitahu saya bahawa jemaah surau menunggu-nunggu ketibaan saya. Mereka telah membuat persiapan dengan menyediakan jamuan dan telah menjemput semua penduduk kampung untuk mendengar ceramah saya. Walaubagaimanapun saya tidak sampai di surau mereka. Saya begitu kehairanan sedangkan saya telah memberi ceramah selepas solat maghrib tadi. Mengapa mereka mengatakan saya tidak memberikan ceramah. Selepas bercakap panjang lebar dengan 'orang tengah' tersebut barulah saya tersedar bahawa saya telah tersalah tempat ceramah. Sepatutnya saya memberi ceramah di Kg Paroh bukan di Kg Sejijak.Namun disebabkan salah faham, saya telah memberi ceramah di Kg Sejijak. Kawan kepada 'Orang tengah' memberi panduan kepada saya untuk sampai di tempat tersebut mesti melalui SK Sejijak. Namun saya tersalah faham bahawa ceramah tersebut di Kg Sejijak.

Bagi menebus kesilapan yang tidak disengajakan, saya telah bersetuju memberi ceramah di Surau Kg Paroh pada keesokannya iaitu pada ahad malam.

Bagi saya kesilapan ini mungkin disebabkan kerana jemputan ceramah hanya dibuat melalui panggilan telefon sahaja. Kerana itu saya lebih gemar pihak penganjur menghantar maklumat lengkap tentang ceramah melalui SMS setelah saya mengatakan persetujuan. Ini lebih selamat kerana kadang-kadang ketika mengangkat telefon suasana dan lokasi tersebut kurang sesuai seperti suasana sekeliling yang bising. Ini akan menyebabkan maklumat yang disampaikan kurang jelas.

Yang kedua mungkin pihak penganjur tidak menghubungi saya secara terus. Dia menggunakan khidmat 'orang tengah'. Jadi saya menghadapi kesukaran untuk menelefon pihak penganjur untuk mendapat kepastian tentang tempat ceramah. Kebetulan pula 'orang tengah' tidak berada di tempat tersebut pada malam tersebut.

Namun semua itu tidak begitu penting bagi saya. Kejadian tersebut mempunyai hikmah yang cukup besar. Pengajaran yang saya dapat adalah pendududk di kampung-kampung begitu dahagakan ilmu agama. Tiada ustaz yang sudi mencurahkan ilmu agama kepada mereka. Sedangkan kampung mereka tidaklah begitu jauh daripada bandar.

Justeru, para pendakwah sekalian marilah kita giatkan lagi usaha dakwah. Semoga Allah membantu usaha kita. Amin

No comments: