Monday, July 26, 2010
CINTAKAN DUNIA
Semalam 25 Julai 2010, selepas solat Isyak saya mendapat SMS daripada isteri tercinta. "Abang lepas kuliah cepat balik rumah. Ada kawan nak datang". Maka saya cepat meminta izin kepada Ust Adni dan Mejar Radzi untuk pulang ke rumah kerana ingin menyambut tetamu.
Alangkah seronoknya saya dapat berjumpa kembali dengan kawan lama. Kami sudah tidak berjumpa dan berhubung lebih daripada 11 tahun iaitu selepas mendapat keputusan SPM. Saya melanjutkan pengajian di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri manakala kawan saya tersebut melanjutkan pengajian di KUSZA.
Namun perjumpaan pada malam semalam bukan atas dasar ukhuwwah fillah tetapi lebih kepada agenda perniagaan. Beliau datang dengan isteri serta kawan-kawan beliau yang terlibat aktif dengan sebuah syarikat perniagaan MLM. Semua mereka terdiri daripada ustaz-ustazah J-Qaf. Mereka semua memakai baju korporat syarikat yang mereka perjuangkan.
Maka perbualan kami tentang kisah silam dan pengalaman ketika belajar hanya mengambil masa tidak lebih daripada 15 minit. Kemudian ketua kumpulan mereka bertanya kepada saya :"Pernah dengar dan tahu ke tak tentang syarikat ini". Saya dengan jujur menjawab :" Saya telah lama mengetahuinya. Sebelum ini seorang anggota polis telah datang ke rumah saya bersama-sama kumpulan beliau. Tujuannya adalah berkempen kepada saya supaya menyertai syarikat mereka". Beliau bertanya lagi "Macamana nta boleh kenal dia". Saya menjawab :" Saya pernah pergi berceramah di Ibu Pejabat PGA. Jadi disitulah saya berkenalan dengan beliau."
Ketua kumpulan tersebut meminta izin kepada saya untuk menerangkan sekali lagi plan syarikat mereka. Bagaimanakah mahu menjadi usahawan berjaya dalam masa yang singkat dan mudah. Boleh membeli kereta mewah seperti mereka walaupun mereka juga seorang ustaz di sekolah. Mereka datang ke rumah saya dengan menaiki kereta BMW dan Toyota Vish. Ini adalah bukti kejayaan mereka terlibat dengan perniagaan tersebut.
Selepas memberi penerangan panjang lebar, ketua mereka bertanya kepada saya :" Nta tak nak terlibat dengan perniagaan ini ke?". Saya menjawab :" Minta maaf saya tidak berminat". Dia bertanya lagi mengapa tidak berminat?. Sedangkan perniagaan adalah sunnah Rasulullah. Sahabat-sahabat nabi juga adalah tokoh korporat berjaya seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar al- Khattab dan Abd Rahman bin Aus." Dia cuba meyakinkan saya. Beliau tahu saya seorang ustaz, jadi untuk meyakinkan saya maka hendaklah menggunakan hujah-hujah agama. Saya menjawab dengan lemah lembut :" Saya sibuk sedikit. Tak sempat nak terlibat dengan perniagaan ini". Saya bergurau dengan mereka. Ketua tadi masih tidak berputus asa. Beliau menjawab :" Allah beri kepada kita 24 jam. Semua mendapat 24jam. Tiada seorang pun yang mendapat lebih atau kurang daripada 24jam. 8jam kita peruntukan untuk kerja di sekolah, 8jam untuk berehat dan tidur dan 8jam lagi untuk keluarga, makan-minum, membeli-belah, jalan-jalan dan menonton televisyen. Mengapa tidak kita peruntukan 2jam sahaja untuk perniagaan ini."
Saya seperti hilang sabar. Bagaimana seorang ustaz tidak memasukkan agenda dakwah dan agama dalam kalendar hidupnya. Dia hanya berfikir dan mengisi kehidupan untuk dunia semata-mata. Benar Rasulullah dan sahabat-sahabat berniaga tetapi perniagaan mereka tidak menyebabkan mereka lalai. Sahabat-sahabat nabi tidak menjadi hamba dunia. Namun ustaz-ustaz ini berfikir siang dan malam tentang duit-duit sahaja. Saya tidak menghukum mereka tetapi bayangkan waktu umat Islam sibuk solat berjemaah di masjid tetapi mereka leka dengan perniagaan dan urusan dunia mereka. Sepatutnya mereka yang menjadi contoh kepada masyarakat Islam. Mengimarahkan masjid dan bersolat jemaah tapi mereka telah dilekakan dengan dunia.
Saya juga pelik dan aneh. Mereka boleh memperuntukan masa 2jam setiap hari untuk urusan perniagaan namun kenapa mereka tidak boleh memperuntukan masa 2jam juga untuk dakwah. Mereka sanggup membuat temujanji dan perjumpaan atas dasar perniagaan namun kenapa tidak membuat perkara yang sama untuk dakwah. Mereka tidak malu dan begitu bersungguh-sungguh berkempen dan mempromosikan syarikat mereka tetapi kenapa mereka malu apabila ingin berdakwah. Mereka boleh pergi ke rumah panjang dan kampung-kampung pedalaman untuk menjual produk namun kenapa mereka tidak boleh berdakwah kepada bukan Islam di kawasan pedalaman. Menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama tapi kali ini untuk dakwah.
Selain itu saya juga tawar hati apabila melihat isteri-isteri mereka yang juga adalah ustazah. Mendapat pendidikan agama secara formal dan menjadi tempat rujukan orang ramai namun penampilan luaran mereka bukan lagi berimejkan seorang ustazah. Mereka bertabarruj(make up). Subhanallah apa sudah jadi. Katakan ingin mencontohi Rasulullah tapi lain pula yang jadi. Urusan dunia telah merubah segala-galanya.
Saya memohon kepada Allah supaya tidak dijangkiti penyakit cintakan dunia dan bencikan mati. Tidak salah menjadi usahawan bahkan memang dituntut untuk meningkatkan ekonomi ummah namun yang salah adalah sikap yang terlalu cintakan dunia. Hilang tujuan dan fokus. Sekarang tujuan mereka adalah ingin menjadi jutawan. Boleh menjadi jutawan dan adalah satu kejayaan apabila menjadi jutawan tapi biarlah kita menjadi seorang yang zuhud dan qanaah. Dunia hanyalah di tangan bukan di hati. Dunia tidak menyebabkan kita lalai daripada mengingati Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment