Thursday, December 15, 2011

MAKSIAT

Alhamdulillah malam tadi 14 Disember 2011 saya berkesempatan memberi motivasi kepada peserta Kem Bina Sahsiah anjuran Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah bertempat di Sekolah Agama Al-Faizin, Guar Cempedak. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 2,3 dan 4 seluruh negara. Seramai 230 orang pelajar telah mengikuti program tersebut selama 21 hari.Sebelum saya memulakan ceramah saya sempat berbual dengan fasilitator KBS. Mereka memaklumkan bahawa terdapat peserta yang positif dadah setelah dibuat saringan air kencing oleh AADK. Selain itu yang mengejutkan terdapat peserta yang pernah berzina dan menggugurkan kandungan. Sahabat saya Ust Nazmi juga memberitahu sekarang tren pelajar sekolah berzina di dalam kawasan sekolah. Antara lokasi pilihan mereka adalah dewan makan asrama iaitu di bawah meja makan yang ditutup indah dengan kain. Perbuatan terkutuk ini dilakukan pada sebelah malam. Ini kerana dewan makan tidak akan ditutup oleh penguasa kantin kerana mereka mengambil jalan mudah iaitu tidak perlu menunggu semua pelajar habis minum malam. Cara mudah adalah dengan membiarkan dewan makan tidak berkunci. Maka peluang ini diambil oleh pelajar-pelajar bermasalah untuk melakukan maksiat. Justeru, semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah yang semakin membarah di kalangan muda-mudi Islam.

Wednesday, December 14, 2011

BERKONGSI ILMU DI KAMPUNG HALAMAN

Pada 25 November 2011 yang lepas saya diberi peluang untuk menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Sultanah Haminah Qaryah Tanjung Radin. Saya sangat teruja kerana ini merupakan peluang berkongsi ilmu dengan masyarakat kampung yang terdiri daripada ahli keluarga saya sendiri. Pagi ini selepas Solat Subuh Berjemaah sekali lagi Tuan Imam berjumpa dengan saya. Beliau meminta bantuan saya untuk menyampaikan kuliah subuh pada pagi Ahad 18 Disember 2011. Alhamdulillah dengan segala kerdilan diri dan kekurangan ilmu saya akan cuba sebaik mungkin untuk berkongsi ilmu demi mencapai keredhaan Allah.

ALHAMDULILLAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH

Alhamdulillah saya sangat bersyukur kepada Allah kerana saya berjaya untuk ditemuduga bagi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP),Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa. Sesi temuduga akan diadakan di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Saya berdoa mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan segala urusan bagi membolehkan cita-cita mendalami ilmu agama tercapai. Insyaallah ilmu yang akan digali akan diamalkan dan disebarkan kepada masyarakat. Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling banyak manfaat kepada manusia lain"

Wednesday, June 22, 2011

TRAVELOG UMRAH - KERENAH AGENSI UMRAH

Alhamdulillah saya bersama ibu, isteri dan ibu mertua telah selamat mengerjakan umrah. Perancangan awal telah bermula pada tahun lepas dengan kami melihat pakej-pakej umrah yang disediakan oleh agensi-agensi umrah dan Tabung Haji Travel. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, kami membuat keputusan memilih pakej umrah yang disediakan oleh sebuah agensi umrah swasta yang beralamat di Alor Setar Kedah.

Kami telah memilih pakej semasa cuti sekolah dengan penerbangan Biman Airlines. Tarikh pilihan adalah pada 28 Mei hingga 11 Jun 2011 iaitu selama 14 hari termasuk hari pergi dan hari pulang ke Malaysia. Bayaran yang dikenakan setiap seorang adalah RM5450. Pada 28 Disember 2010 saya telah membuat pembayaran pendahuluan sejumlah RM4000 untuk 4 orang. Saya juga telah menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk urusan visa termasuk pasport antarabangsa kepada agensi swasta tersebut. Harga yang ditawarkan kepada kami hanya RM5350 iaitu diskaun RM100 untuk setiap seorang.

Pada awal bulan Mei 2011, saya menelefon agensi umrah tersebut bertanya tentang bayaran penuh. Setelah mendapat jawapan daripada pegawai agensi umrah tersebut, saya dan isteri telah membuat pemindahan wang ke dalam akaun Tabung Haji ibu saya. Kakak bersama ibu telah pergi ke agensi tersebut untuk membuat pembayaran penuh.

Alangkah terkejut apabila dimaklumkan bahawa ibu mertua tidak dapat pergi bersama kami kerana pembayaran pendahuluan tidak dibuat secara serentak. Justeru, pegawai itu mencadangkan ibu mertua pergi lebih lewat atau pun ibu, isteri dan ibu mertua perlu pergi terlebih dahulu dan saya akan menyusul kemudian. Apabila saya mendapat khabar berita tersebut daripada kakak, saya terus bercakap dengan pegawai tersebut menerusi telefon. Saya menjelaskan pembayaran deposit telah dibuat secara serentak pada 28 Disember 2010.

Apabila mendapat penjelasan daripada saya, beliau berjanji akan mencari penerbangan lain kepada kami berempat. Beliau memberitahu penerbangan pada 28 Mei telah penuh. Saya menanti penuh sabar jawapan daripada pegawai tersebut namun tiada jawapan. Maka saya telah menelefon pegawai tersebut. Beliau mencadangkan saya mengambil pakej pada 25 Mei dengan penerbangan Oman Air. Saya tidak bersetuju kerana tarikh tersebut belum cuti sekolah dan tiket pulang ke Kedah telah dipohon kepada Bahagian Pengajian Teknik dan Vokasional. Setelah berbincang panjang maka saya ditawarkan dengan pakej Emirates pada 31 Mei hingga 14 Jun. Saya bersetuju walaupun harga lebih mahal iaitu RM5800 setiap seorang.

Setelah mendapat jadual penerbangan menerusi email daripada pegawai tersebut, saya meminta ibu bersama adik membuat pembayar penuh sejumlah RM22800 untuk 4 orang. Namun 2 hari sebelum berlepas ke tanah suci, saya mendapat panggilan telefon memaklumkan jadual berkumpul di Stadium Darul Aman ditukar ke jam 11.00 pagi tetapi penerbangan tetap pada jam 7.30 malam pada 31 Mei di KLIA. Setelah berbincang dengan abang kerana meragui masa penerbangan, saya menelefon kembali agensi tersebut untuk mendapat kepastian tentang waktu penerbangan. Pada kali ini beliau memberitahu jadual penerbangan adalah pada pukul 2.00 pagi pada 1 Jun.

Keesokannya sehari sebelum berlepas ke Jeddah, saya sekali lagi mendapat panggilan daripada agensi tersebut. Beliau memaklumkan pakej tersebut berharga RM5900. Justeru, beliau meminta baki bayaran sejumlah RM200 bagi setiap seorang. Saya menjelaskan bayaran yang ditawarkan kepada kami hanya RM5800 tetapi setelah diskaun harga pakej hanya RM5700 dan bayaran telah dibuat sepenuhnya. Setelah mendapat penjelasan tersebut beliau berpuas hati dan beliau meletakkan telefon.

Thursday, May 26, 2011

BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Alhamdulillah saya diberi kekuatan oleh Allah untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat Islam sekitar Bandar Kuching sehingga malam ini walaupun esok pagi saya akan pulang ke kampung halaman. Antara topik yang disampaikan sepanjang minggu lepas dan minggu ini adalah mengenai alamat kecil kiamat.

Sebagai umat Islam kita wajib beriman dengan Hari Akhirat. Mengapakah Hari Akhirat penting? Jawapannya adalah kerana dunia tidak menjamin keadilan kepada penghuninya namun akhirat akan memberi keadilan kepada semua manusia. Sebagai contoh, seorang perompak boleh hidup mewah hasil daripada harta rompakan tetapi dia terlepas daripada hukuman di dunia kerana beliau merupakan seorang perompak yang licik. Seorang pekerja bawahan yang rajin dan bertanggungjawab namun majikan tidak memandang pengorbanan beliau sehingga organisasi tersebut maju. Namun dengan adanya Hari Akhirat maka semua manusia akan mendapat balasan berdasarkan amalan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia.

Manusia yang bijak adalah manusia yang bermuhasabah tentang diri sendiri dan melakukan amalan untuk hari selepas kematian. Kita akan menjadi manusia yang berpandangan jauh dan memikirkan baik buruk sebelum melakukan sesuatu. Semua ini adalah hasil beriman kepada Hari Akhirat.

Saturday, May 14, 2011

NIKMAT ALLAH

Alhamdulillah begitu banyak nikmat Allah kepada saya. Jikalau sebelum ini Allah menguji dengan sedikit musibah tetapi kali ini Allah telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga kepada saya.

Setelah berkhidmat sebagai guru selama 5 tahun dengan berkat sokongan dan dokongan daripada semua pihak, saya telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang(APC) bagi tahun 2010. Satu pengiktirafan kepada kakitangan awam yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Nikmat yang saya sangat impikan adalah menjadi tetamu Allah. Insyaallah pada 31 Mei hingga 13 Jun ini saya akan mengerjakan umrah bersama-sama dengan isteri, ibu dan ibu mertua. Setelah 3 tahun meninggalkan tanah haram pada awal 2008 selepas selesai mengerjakan ibadat Haji, kali ini saya sekali lagi dijemput oleh Allah untuk mengunjungi Baitullah. Nikmatnya melakukan umrah dan membanyakkan ibadat di Masjid Haram serta kesempatan menzirahi maqam Rasulullah di Masjid Nabawi, Madinah Munawwarah. Mudah-mudahan peluang keemasan ini akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam usaha memburu redha Allah.

Monday, April 25, 2011

UJIAN DARIPADA ALLAH

Tahun ini saya diuji dengan pelbagai ujian dan musibah. Semua itu menuntut kepada kesabaran. Awal tahun 2011, motosikal saya telah dicuri pada hari Jumaat. Saya dan isteri pergi ke sekolah dengan memandu kereta. Selepas solat Jumaat, kami pulang ke rumah. Alangkah terkejutnya motosikal saya telah hilang.

Baru-baru ini, kereta saya telah dilanggar dari belakang. Setelah diperbaiki, saya mengambil kereta dari bengkel pada pukul 5 petang. Pada malam tersebut lebih kurang pukul 10.45 malam kereta saya dilanggar sekali lagi dari belakang. Sedih tetapi semua telah ditentukan oleh Allah. Segala-galanya dalam Qada dan Qadar Allah. Kita sebagai muslim wajib beriman dengan rukun Iman yang keenam ini. Apabila diuji kita wajib bersabar. Saya berdoa mudah-mudahan ada kebaikan yang akan saya dapat selepas ini.

Thursday, March 24, 2011

KEMBARA KE LIMBANG, BRUNEI, SIPITANG & KOTA KINABALU













Alhamdulillah pada 15 mac hingga 18 mac yang lepas saya bersama-sama keluarga berkesempatan bercuti ke Brunei, Limbang, Sipitang dan Kota Kinabalu.

Pengembaraan kami bermula dengan menaiki maswing dari Kuching ke Miri pada pukul 11 pagi 15 Mac 2011. Kemudian kami memandu kereta menuju Brunei. Pada malam tersebut kami bermalam di Limbang.

Pada 16 Mac 2011 kami memandu menuju Kota Kinabalu. Kami telah bermalam di Homestay Solihin berdekatan dengan Hospital Queen Elizibath. Keesokkannya 17 Mac kami bertolak pulang ke Limbang. Namun sekali lagi kami memasuki Bandar Seri Bagawan, Brunei.

Pada 18 Mac pukul 10.15 malam kami selamat sampai di Kuching.

Monday, February 28, 2011

BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA AKAN MELUASKAN PINTU REZEKI

Alhamdulillah pagi tadi saya mendapat sms daripada Ust Mahadi IPG Kampus Batu Lintang. Beliau menawarkan kepada saya untuk mengajar ustaz ustazah J-Qaf pada cuti sekolah bulan Mac nanti selama 10 jam. Tawaran sebagai tenaga pensyarah sambilan. Rezeki yang tidak disangka-sangka. Namun saya terpaksa menolak kerana saya akan bercuti ke Limbang bersama keluarga. Sebelum ini pun saya pernah mendapat tawaran yang sama tetapi terpaksa menolak juga kerana saya telah membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung.

Bulan November 2010 yang lepas, saya telah mendapat tawaran pensyarah sambilan di Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS),JAKIM tetapi saya juga terpaksa menolak kerana saya akan menghabiskan cuti hujung tahun bersama keluarga tercinta di kampung halaman.

Justeru, berbuat baiklah kepada ibu bapa kerana ia akan meluaskan pintu rezeki.

Friday, February 4, 2011

Wednesday, February 2, 2011

SALAM MAULIDUR RASUL SAW




Insyaallah pada 15 Februari nanti kita akan sama-sama menyambut Maulidur Rasul SAW. Bersempena dengan sambutan ini, saya ingin mengajak semua muslimin dan muslimat mencintai Rasulullah dengan mengikuti sunnah baginda. Tak kenal maka tidak cinta. Justeru buatlah sedikit pelaburan dengan miliki kitab Syamail Muhammad dengan harga RM47 sahaja dan ringkasan Riyadhus Solihin dengan harga RM52. Muslimin-muslimat sekitar Kuching yang berminat sila hubungi saya 0133789411.

Thursday, January 27, 2011

BANTUAN ALLAH

Alhamdulillah insyaallah pada 29 januari nanti akan diadakan ijtimak nuqaba'. Program yang sangat penting untuk menghimpunkan para naqib, naqibat dan pendakwah. Kami akan didedahkan dengan teknik menyampaikan dan berkongsi ilmu dengan mad'u.

Saya telah diamanahkan untuk menjadi bendahari. Salah satu tugas bendahari adalah mencari sumber pendapatan untuk menguruskan program ini. Anggaran perbelanjaan sejumlah RM1000 sahaja. Masa tinggal seminggu sahaja lagi sebelum program berlangsung tetapi duit satu sen pun belum ada. Saya berusaha menghubungi kenalan dan sahabat-sahabat memohon sumbangan ikhlas.

Alhamdulillah Allah telah menggerakkan hati seorang sahabat untuk menginfakkan wang sejumlah RM1050. Saya memanjatkan pujian dan bersyukur dengan kurniaan tersebut. Setiap kesusahan pasti bersamanya kemudahan.

Thursday, January 20, 2011

PERMOHONAN HADIAH LATIHAN PERSEKUTUAN (HLP)

Alhamdulillah saya telah mengisi online Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).Semoga cita-cita menyambung pengajian akan termakbul pada 2011 ini setelah terpaksa membatalkan hasrat tersebut walaupun telah mendapat tawaran master di UM sebanyak 3 kali dan sekali di USM di bawah program Rancangan Latihan Kakitangan Akademik(RLKA).Mudah-mudahan ada kebaikan kepada saya. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.