Alhamdulillah sebulan yang lepas, saya dapat menghabiskan membaca buku Anakku Hebat Anakku Soleh karangan Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Buku ini begitu baik untuk setiap ibu bapa. Untuk mendidik anak memerlukan kepada ilmu dan kemahiran. Buku ini adalah hasil olahan dan ringkasan dari buku tarbiyyatul aulad karangan Syeikh Nasih Ulwan.
Kawan mengusik saya :' Ustaz tak sabar nak dapat anak ke?. Awal-awal dah baca buku ini.' Itu situasi biasa di sekolah saya. Namun itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk menghabiskan semua bab di dalam buku ini.
Jadikanlah buku sebagai teman hidup kita. Dalam sebulan berapa buah bukukah kita telah baca dan khatam. Mengapa kita boleh menghabiskan berjam-jam di hadapan tv atau mendengar radio tetapi kita begitu sukar menghabiskan masa lapang untuk membaca buku. Sedangkan dengan membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Pelajar-pelajarku, jadilah anda sekalian sebagai penggemar buku. Buku sentiasa di tangan anda bukan handfhone. Anda boleh berbalas sms, menghabiskan duit untuk membeli prepaid tetapi anda begitu kedekut unutuk membeli buku dan majalah ilmiah.
Kita malas membaca buku. Untuk menulis buku mungkin hanya satu mimpi dan angan-angan sahaja untuk kita. Contohilah ulama-ulama silam yang banyak menulis buku. Hasil karangan mereka sangat berguna kepada kita. Inilah yang dinamakan sebagai ilmu yang bermanfaat.
Untuk peringkat permulaan, kita jadikan membaca buku sebagai hobi. Sediakan sedikit ruang di rumah kita sudut untuk buku. Jadikan ia sebagai perpustakaan peribadi.
Renungkanlah sesungguhnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah adalah berkaitan dengan amalan membaca. Bukan hanya membaca sahaja tetapi diikuti dengan budaya penyelidikan. Selepas itu kita akan berupaya dan mampu menghasilkan buku. Inilah saham akhirat kita selepas kita meninggal dunia. Walaupun kita telah meninggal dunia tetapi pahala masih lagi sampai kepada kita.
Ayuh kita semua jadilah umat Islam yang hebat.
No comments:
Post a Comment