Wednesday, March 11, 2009

ANTARA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN ITTIBA' SUNNAH





Alhamdulillah pada 9 Mac yang lepas kita dapat bersama-sama menyambut Maulidur Rasul. Pelbagai acara diadakan untuk menyatakan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah. Namun kita perlu bermuhasabah adakah sambutan kita setiap tahun hanya tinggal sekadar sambutan sahaja. Akan tetapi kita masih lagi belum mengikut sunnah Rasullulah.

Ibu bapa juga sepatutnya memperkenalkan kepada anak-anak dengan peribadi, akhlak dan perjuangan Rasulullah. Mungkin sebelum ini kita lebih banyak mendedahkan anak-anak kita dengan cerita rakyat seperti sang kancil dengan buaya dan arnab dengan kura-kura. Sepatutnya menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak mereka supaya mencintai Rasulullah dan ahli Bait. Rasulullah telah bersabda : "Ajarkan anak kamu tiga perkara; ajarkan mereka supaya cintakan nabi, cintakan keluarga nabi dan ajarkan mereka al-Quran”. (riwayat at-Tabrani)

Setiap umat Islam sepatutnya memiliki kitab As- Syamail al- Muhammadiah. Kitab ini menerangkan secara perinci tentang sifat fizikal Rasulullah, makanan, minuman kegemaran Rasulullah, pakaian dan pelbagai lagi. Isteri saya bertanya :"boleh percaya ke abang? tak menyeleweng ke?" Isteri saya bimbang bahan bacaan seperti itu boleh menyebabkan kita sesat. Saya tersenyum. Saya menjawab :"tak, buku ini diakui benar oleh semua ulama. Kitab ini adalah karangan ulama muhadtith yang terkenal, Imam Tirmizi. Ulama memuji kitab ini dengan berkata :"sesiapa yang mengkehendaki Rasulullah ada di dalam rumahnya maka milikilah kitab as-Syamail al- Muhammadiah. Buku ini abang beli ketika belajar di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan. Abang beli buku ini kerana nak belajar dengan Syeikh Nuruddin Marbu Banjari Makki. Namun tak kesampaian kerana beliau tidak mendapat visa untuk menetap di Malaysia. Jadi beliau terpaksa pulang ke Indonesia".

Kita juga perlu menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Rasulullah. Pihak musuh Islam amat dengki dan cenburu kepada peribadi dan kehebatan Rasulullah. Mereka menuduh Rasulullah sebagai gila seks dan kaki perempuan kerana baginda mempunyai ramai isteri. Mereka memfitnah Rasulullah sebagai pilih kasih dan memandang hina kepada orang tua hanya semata-mata melihat secara rambang peristiwa antara Rasulullah dan Abdulullah b Maktum.
Rasulullah merupakan contoh teladan dan idola kepada umat Islam. Firman Allah s.w.t : al-Ahzab :21“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Namun kita sedih remaja masa kini lebih berminat menjadikan artis sebagai idola. Mereka mengenali artis tetapi tidak mengenali peribadi agung Rasulullah.
Baginda Rasulullah mempunyai akhlak yang mulia. Firman Allah s.w.t :al-Qalam :4“Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia”. Justeru marilah kita mencontohi akhlak Rasulullah dan mengikut sunnah baginda. Milki kitab-kitab hadith seperti sohih Bukhari, sohih Muslim, sunan Tirmizi, sunan Abu Daud, sunan An-Nasaie,sunan Ibnu Majah, Muwatta' Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad Hanbal. Mudah-mudahan kita akan mendapat syafaat baginda pada hari kiamat nanti. Amin...

No comments: