Friday, March 27, 2009

YA ALLAH JADIKANLAH AKU ANAK SOLEH






Hampir 2 minggu blog ini tidak diupdate. Maaf kepada semua pengunjung. Sepanjang cuti sekolah selama seminggu, saya sibuk menjadi pemandu pelancong. Keluarga saya terdiri daripada emak, 2 orang adik, Mak Teh dan Mak Teh telah datang bercuti di kuching.

Jadual kami begitu padat. Keluar pagi dan balik ke rumah pada waktu malam. Keluarga saya sampai pada malam ahad. Keesokkannya selepas saya memberi kuliah subuh di Masjid Taman Sukma, kami pergi membeli- belah di Serikin. Mak teh dan Pak Teh shopping sakan. Keesokkannya pula kami pergi ke kedai pasu,tembikar dan perabot kayu jati di Kota Sentosa dan Kampung Haji Baki.

Pada hari Selasa, kami pergi ke Kampung Budaya, Santubong. Kami hanya bergambar di hadapan Kampung Budaya sahaja kerana bayaran yang dikenakan untuk memasuki Kampung Budaya adalah RM60 setiap seorang. Perjalanan pada hari itu hanya sehingga petang sahaja kerana saya terpaksa memberi Ceramah Maulidur Rasul di Masjid Mujahidin, Kompleks Polis Tabuan Jaya. Inilah kali pertama Pak Teh mendengar saya memberi ceramah. Berdebar-debar juga kerana Pak Teh ada di hadapan saya.

Hari Rabu, kami pergi ke Kampung Pelanduk, Sadong Jaya untuk menziarahi keluarga Pak Tam Ismail sepupu ayah. Inilah tuntutan kepada setiap anak, menghubung silaturrahim dengan keluarga dan kawan ibu bapa selepas kematian ibu bapa yang tercinta.
Saya mengambil ujian PTK pada hari Khamis. Oleh sebab itu, kami hanya berjalan-jalan di sekitar water front dan India Street pada sebelah petang. Pada hari jumaat, kami pergi membeli ikan terubok di Pasar Tamu Satok dan sekali lagi kami pergi ke kedai pasu dan perabot kayu jati untuk membeli barang-barang sebelum keluarga saya berlepas pulang ke Kedah pada sebelah malamnya.
Memang memenatkan tapi menyeronokkan. Saya dan isteri berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan yang terbaik kepada keluarga saya. Inilah saat dan ketika saya membuktikan saya adalah anak soleh yang dapat membahagiakan mak dan ayah. Ilmu agama yang saya pelajari bukan untuk dijawab di dalam dewan peperiksaan dan untuk mendapat segulung ijazah sahaja tetapi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Sebagai muhasabah untuk semua, bagaimanakah hubugan kita dengan ibu bapa kita? Adakah setiap pagi sebelum ke sekolah kita peluk dan cium tangan ibu bapa kita? Adakah kita sentiasa menghubungi ibu bapa apabila berjauhan ataupun kita lebih suka menelefon teman wanita? Adakah kita sentiasa mendoakan mak dan ayah kita selepas solat? Adakah kita pernah berdakwah kepada mak dan ayah kita yang mungkin lalai daripada mengingati Allah?
Allah berfiraman di dalam Al-Quran yang bermaksud :" dan tuhan kamu telah mewajibkan janganlah kamu menyembah selain Allah dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik..."
Rasulullah bersabda yang bermaksud :"sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamu'. Jadikanlah amalan kita berdoa kepada Allah seperti yang di dalam Al-Quran :"Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat yang menyejukkan mata serta jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa"

No comments: