Tuesday, March 3, 2009

DOA-DOA YANG MA'THUR





Minggu lepas, Kak Hazlina bertanya kepada saya tentang doa yang terdapat di dalam buku majmu' syarif. Buku ini telah lama berada di pasaran. Ramai orang Melayu menjadikan buku ini sebagai bahan utama untuk beribadat dan berdoa kepada Allah.

Keesokannya pula Kak Hamidah bertanya persoalan yang sama. Kak Hazlina dan kak Hamidah memang menggunakan buku ini untuk berdoa kepada Allah khususnya selepas solat. Buku ini juga terdapat di rumah saya di kampung. Mungkin emak saya juga menggunakan buku ini sebagai panduan untuk berdoa.

Saya pernah melihat muka depan majalah I di dalam internet. Salah satu tajuk di dalam majalah ini ialah berkaitan dengan analisis ilmiah berkaitan buku majmu' syarif. Saya cuba mencari majalah I di pasaran, namun tidak terdapat di sekitar Bandaraya Kuching.

Saya cuba membaca isi kandungan buku tersebut. Hasil penelitian saya sekali imbas, buku tersebut tidak terdapat kesalahan. Namun tiada nama penulis pula pada buku tersebut.

Namun yang menimbulkan sedikit keraguaan di hati saya ialah gelaran kepada Nabi Isa adalah Ruhullah. Setahu saya nabi Isa digelar al- Maseh. Di dalam al- Quran hanya disebut Isa Ibnu Maryam setahu saya. Saya bukanlah al- Hafiz yang mengetahui semua isi kandungan al- Quran.

Pada pagi ini, saya bersempatan bertanya kepada Ustaz Wan Zul, Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Muazdam Shah (POLIMAS), Kedah. Dahulu beliau berkhidmat di Politeknik Kuching. Apabila timbul kemusykilan agama, antara ustaz yang saya selalu rujuk adalah Ustaz Wan Zul. Beliau juga merupakan guru saya disamping sebagai sahabat. Pada pagi Ahad, saya akan meluangkan masa untuk belajar Qawaid Fiqhiyyah dengan beliau.

Menurut Ustaz Wan Zul, Nabi Isa juga digelar Ruh al - Qudus di dalam surah Al-Baqarah ayat 253. Saya tidak sempat melihat tafsir pada hari ini. Insyaallah saya akan merujuk kepada tafsir al- Munir dan ringkasan tafsir ibnu Kathir yang terdapat di perpustakaan peribadi rumah saya.

Untuk kepastian, saya bertanya juga kepada Ustaz Hassan Basri, guru di SM Teknik Sejingkat. Beliau juga merupakan kawan dan guru saya. Menurut beliau, memang Nabi Isa juga digelar ruhullah. Namun kita kena berhati-hati memahami gelaran ini kerana orang Kristian memutar belitkan gelaran ini. Mereka beranggapan Nabi Isa sebagai tuhan dan anak tuhan. Mereka berpegang kepada kepercayaan Triniti. Alhamdulillah saya mendapat jawapan yang pasti dan menyakinkan saya.

Saya menasihati dan mencadangkan kepada Kak Hazlina dan Kak Hamidah supaya membaca buku-buku karangan Ustaz Zahazan Mohammad, pensyarah UIA. Doa-doa yang beliau kumpulkan adalah daripada al- Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Doa-doa ini disebut sebagai ma'thur.

Saya juga mencadangkan Kak Hazlina dan Kak Hamidah menjadikan al- Mathurat karangan Imam Hassan Al- Banna sebagai amalan. Jikalau mempunyai kemampuan membaca kitab Arab, kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi sangat baik untuk dijadikan sebagai amalan. Kitab ini juga adalah koleksi doa-doa yang yang ma'thur daripada al- Quran dan Hadith. Saya tidak pasti samada kitab ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ataupun belum.

Moralnya, apabila terdapat kemusykilan bertanyalah kepada orang yang lebih arif dan alim daripada kita. Jangan malu belajar walaupun kita sudah besar dan mempunyai kedudukan disisi masyarakat. Yang kedua, rajinlah membuat penyelidikan dan membaca buku. Ketahuilah sesungguhnya ilmu Allah itu Maha Luas. Ketig, bersahabat dengan alim ulma. Insyaaalh kita akan mendapat keberkatan daripada ilmu meraka.




No comments: