Monday, July 5, 2010

PERTEMBUNGAN ANTARA SALAFI DAN KHALAFI



Pertembungan aliran salafi dan khalafi semakin hangat. Sebelum ini pertembungan ini dikenali sebagai pertembungan antara kaum muda dan kaum tua. Tuduh-menuduh dan hukum-hukum serta label-melabel semakin menjadi polimek di kalangan ilmuan Islam. Yang menjadi mangsa adalah masyarakat awam. Mereka semakin keliru tentang permasalahan ini.

Pertembungan ini semakin hangat setelah Jabatan Agama Islam Selangor mengambil tindakan menangkap Dr Asri Zainal Abidin kerana didakwa memberikan kuliah tanpa tauliah. Isu itu belum reda namun tiba-tiba muncul pula isu tangkapan Ust Fathul Bari atas dakwaan yang sama. Namun kali ini tangkapan di buat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Selepas itu muncul pula isu militan, pengganas dan Jamaah Islamiah(JI). Polimek semakin kusut apabila dilaporkan Ust Zamihan menamakan Dr Asri Zainal Abidin sebagai ekstremis agama kerana dilabel sebagai wahabi. Dakwaan ini dibuat ketika Ust Zamihan memberi taklimat keselamatan kepada Naib-Naib Canselor IPTA.

Tidak lama selepas itu muncul satu lagi isu iaitu ulama muda menyertai UMNO. Ulama muda yang menyertai UMNO rata-rata di kalangan Ulama Sunnah atau mereka yang beraliran salafi. Maka timbul dakwaan mereka cuba meniru pendekatan yang diambil oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab dalam mengembangkan dakwah melalui pendekatan menyertai kerajaan pada waktu itu. Ada juga beranggapan ini sebagai cubaan mengelak daripada dikenakan tindakan atas dakwaan sebagai pengikut wahabi.

Saya tidak berhajat mengulas lanjut tentang polimek ini dari sudut kronologi peristiwa. Namun saya lebih berminat untuk membincangkan dari sudut adab ikhtilaf di kalangan ilmuan. Kita sepatutnya bersikap sederhana dalam isu ini. Kita jangan menjadi puak yang cepat menghukum sesuatu itu sebagai bidaah ataupun menjadi puak yang cepat melabel seseorang dengan pelbagai label seperti wahabi, salafi, kaum muda dan golongan Sunnah.

Saya yakin semua ilmuan mempunyai ilmu yang mantap dalam disiplin ilmu Islam. Walaubagaimanapun yang menjadi masalah di kalangan ilmuan adalah berkaitan sikap dan salah sasaran. Sebagai contoh, ingin menegur sikap sebilangan kecil umat Islam yang fanatik kepada satu-satu pandangan mazhab tetapi yang dikritik hebat adalah mazhab. Seolah-olah berpegang dengan mazhab adalah satu kesalahan.

Contoh yang lain seperti amalan membaca yaasin malam jumaat. Memang tidak dapat disangkal bahawa tiada nas tentang membaca yaasin pada malam jumaat namun tindakan menyalahkan membaca yaasin adalah kurang tepat. Sepatutnya yang ditegur adalah anggapan membaca yaasin malam jumaat adalah kemestian yang wajib dibuat, itu sepatutnya ditegur oleh pendakwah bukan bacaan yaasin.

Sama halnya dengan buku Sifat Solat Nabi. Satu pihak menghatam Syeikh Albani dengan tidak mengjaga akhlak. Siapalah kita untuk menuduh beliau dengan pelbagai tuduhan. Satu pihak lagi pula sibuk dengan menghukum solat yang tidak berpandukan buku tersebut sebagai tidak mengikut Sunnah Rasulullah. Sedangkan yang patut diberikan keutamaan oleh pendakwah dalam memahami maksud hadis :"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat" adalah Rasulullah solat di awal waktu, solat dengan khusyuk dan solat secara berjemaah. Bukan yang ditekankan sehingga tuduh-menuduh dalam soal meletak tangan di dada dan menggerakkan jari ketika membaca tasyahhud.

Justeru, saya menyeru semua pihak berlapang dada dalam masalah khilafiah ini. Masing-masing mempunyai hujah dan dalil. Berpegang dan beramallah dengan yakinan masing-masing tetapi jangan sama sekali kita menghukum kawan kita yang tidak sealiran sebagai pembuat bidaah,sesat dan ekstremis agama.Wallahu a'lam.

1 comment:

hjbard said...

salam, tq.... kupasan yang menarik, adab dalam islam lebih utama dari pada ibadat itu sendiri...., sia2 amalan bagi orang yang menyakiti hati orang lain.... muflis!