Wednesday, February 25, 2009

AJAL DATANG TANPA DIJEMPUT


Allah Maha Berkuasa. Semua perkara di alam ini dibawah pentadbiran Allah. Planet, bintang , bulan dan matahari beredar dan berputar mengikut Sunnatullah. Semua taat dan patuh dengan perintah Allah.

Perkara ghaib juga hanya diketahui oleh Allah. Manusia tidak mengetahui bila ajal kematian kita. Dimanakah kubur yang akan menjadi tempat kediaman kita.

Pagi tadi dalam lingkungan pukul 8.30 pagi handphone saya berbunyi. Tertera di skrin handphone saya nama Ustaz Din, pensyarah Polteknik Kuching. Ust Din memulakan bicara : " Assalamualaikum syeikh. Nta kat mana? Ana kat sekolah. saya menjawab. Nta tolong bagitau kak Orwah, suami dia pengsan di Poli. Kami dah telefon ambulans, sekarang tengah tunggu ambulans la untuk bawa dia ke Hospital Umum. Tapi nta bagitau elok-elok kat kak Orwah, nanti dia yang pulak yang pengsan". Pesan ust Din.

Selepas meletak telefon, saya bergegas ke pejabat am sekolah. Saya bertanya kepada kak Saerah : " mana kak Orwah? Kak Saerah menjawab :"Kak Orwah pergi Sibu. Esok baru balik"." Yeke. Takpelah. Saya nak bagitau suami kak Orwah pengsan kat Poli".

Saya segera menelefon isteri. " Sayang kat kantin ke? Anak kak Orwah ada tak? Bagitau kat dia, ayah dia pengsan kat Poli. Ust Din telefon abang sekejap tadi". Isteri saya menjawab :" Faraha kat bilik SPBT. Yeke, jom kita jumpa dia sekarang". Saya dan isteri segera ke bilik SPBT. Saya memberitahu hal yang berlaku ke atas ayah beliau. Beliau menangis. Saya cuba menenangkan beliau. Kemudian saya meninggalkan isteri dan Fariha kerana saya ada kelas dengan 5PM/PD.

Saya mula mengajar selepas bertanya khabar semua. Tajuk pada hari ini ialah ajaran sesat. 10 minit mengajar, handphone saya berbunyi lagi. Kali ini ustaz Din memaklumkan doktor telah mengesahkan suami kak Orwah sudah meninggal dunia. INNALILLAH WAINNA ILAIHI RAAJI'UUN.

Saya segera menelefon isteri. " Sayang kat mana" " Sayang kat bilik SPBT" Isteri saya menjawab. Tiba-tiba perbualan kami terputus. Bateri handphone isteri saya habis. Saya meminta pelajar menyalin nota. Saya keluar sekejap untuk memberitahu tentang kematian suami kak Orwah kepada isteri.

Selepas memberitahu, isteri saya bersama-sama Juahir pergi ke Hospital Umum untuk mengambil Fariha. Kemudian mereka bersama-sama pergi ke Politeknik untuk menziarahi jenazah. Saya pula masuk kembali ke dalam kelas untuk menyambung pengajaran.

Sahabat-sahabatku, sedarlah bahawa kematian amat dekat dengan kita. Bila-bila saja kita akan dijemput oleh Allah. Sudahkah kita bersedia untuk berjumpa dengan Allah. Bagaimnakah dengan amalan ibadat kita. Solat kita bagaimana? Hubungan kita dengan Allah macam mana? Hisablah sebelum kita dihisab oleh Allah

Tuesday, February 24, 2009

Nikmat Iman dan Islam


Kita bertuah kerana kita dilahirkan sebagai muslim. Mak dan ayah kita seorang muslim. Jadi kita mewarisi keislaman ayah dan mak kita. Kadang-kadang kita kurang menghargai nikmat iman dan Islam kerana kita mendapat kedua-duanya dengan mudah. Kita menjadi muslim baka tetapi dari segi penghayatan dan pengamalan kita jauh daripada ajaran Islam. Akidah kita lemah, ibadat kita pinggirkan dan akhlak kita tidak melambangkan sebagai muslim dan muslimah sejati.
Sedangkan sahabat-sahabat dahulu bersusah payah untuk mendapat hidayah. Mereka merantau jauh untuk mendapat ilmu dan hidayah. Hidayah perlu dicari. Kita mesti membanyak doa kepada Allah.
Semalam 23 Februari, ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim, YB Zulkifli Nordin mengatakan kerisauan kerana di Wilayah Persekutuan tiada peruntukan undang-undang untuk menyekat umat Islam daripada murtad. Ajaran dan dakyah agama lain juga boleh disebarkan di kalangan umat Islam di Wilayah Persekutuan. Ini sesuatu yang amat membimbangkan di saat umat Islam begitu lemah dari segi pegangan agama.
Kita melihat kembali kes Lina Joy yang sanggup murtad dengan menjual iman dengan begitu murah hanya semata-mata cintakan kekasih berbangsa India yang beragama Kristian. Aduhai lemahnya iman Lina Joy. Kalau dulu ustaz-ustaz selalu menyebut : " Iman umat Islam senipis kulit bawang" tapi ungkapan ini perlu ditukar kepada : " Iman umat Islam senipis bulu dada lelaki".
Saya amat bimbang dengan situasi ini. Pelajar kita di sekolah begitu lemah pengetahuan agama. Penghayatan lagi-lagi menyedihkan...






Monday, February 23, 2009

AMALAN MEMBACA BUKU


Alhamdulillah sebulan yang lepas, saya dapat menghabiskan membaca buku Anakku Hebat Anakku Soleh karangan Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Buku ini begitu baik untuk setiap ibu bapa. Untuk mendidik anak memerlukan kepada ilmu dan kemahiran. Buku ini adalah hasil olahan dan ringkasan dari buku tarbiyyatul aulad karangan Syeikh Nasih Ulwan.
Kawan mengusik saya :' Ustaz tak sabar nak dapat anak ke?. Awal-awal dah baca buku ini.' Itu situasi biasa di sekolah saya. Namun itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk menghabiskan semua bab di dalam buku ini.
Jadikanlah buku sebagai teman hidup kita. Dalam sebulan berapa buah bukukah kita telah baca dan khatam. Mengapa kita boleh menghabiskan berjam-jam di hadapan tv atau mendengar radio tetapi kita begitu sukar menghabiskan masa lapang untuk membaca buku. Sedangkan dengan membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Pelajar-pelajarku, jadilah anda sekalian sebagai penggemar buku. Buku sentiasa di tangan anda bukan handfhone. Anda boleh berbalas sms, menghabiskan duit untuk membeli prepaid tetapi anda begitu kedekut unutuk membeli buku dan majalah ilmiah.
Kita malas membaca buku. Untuk menulis buku mungkin hanya satu mimpi dan angan-angan sahaja untuk kita. Contohilah ulama-ulama silam yang banyak menulis buku. Hasil karangan mereka sangat berguna kepada kita. Inilah yang dinamakan sebagai ilmu yang bermanfaat.
Untuk peringkat permulaan, kita jadikan membaca buku sebagai hobi. Sediakan sedikit ruang di rumah kita sudut untuk buku. Jadikan ia sebagai perpustakaan peribadi.
Renungkanlah sesungguhnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah adalah berkaitan dengan amalan membaca. Bukan hanya membaca sahaja tetapi diikuti dengan budaya penyelidikan. Selepas itu kita akan berupaya dan mampu menghasilkan buku. Inilah saham akhirat kita selepas kita meninggal dunia. Walaupun kita telah meninggal dunia tetapi pahala masih lagi sampai kepada kita.
Ayuh kita semua jadilah umat Islam yang hebat.

Masjid Institusi Pendidikan




Alhamdulillah pagi sabtu lepas, 21hb saya memulakan kuliah subuh yang pertama di Masjid Al-Muhajirin, Taman Matang Jaya. Kuliah ini adalah kuliah mingguan. Saya menggunakan kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman karangan Syeikhul Islam Imam Habib Abdullah Al-Haddad. Saya menerangkan tentang kepentingan taqwa kepada individu muslim.

Masjid merupakan institusi ilmu. Namun sedihnya, majlis-majlis ilmu hanya dihadiri oleh jemaah yang sudah pencen ataupun hampir pencen. Kuliah subuh pagi ahad di Masjid ikhwanul Islam, Taman Sukma pun mengalami nasib yang sama. Mungkin kita beranggapan remaja tidur lewat. Jadi mereka lewat bangun. Jadi tidak sempat mengikuti kuliah subuh. Namun kuliah maghrib pun sama. Kuliah maghrib di surau Al- Firdaus hanya dihadiri oleh pak cik dan makcik sahaja.

Golongan muda mudi tidak berminat untuk pergi ke masjid. Mereka berkata: 'kamek suka pergi the spring, shopping compleks. Masjid sik best'.

Kita kena ambil sesuatu tindakan supaya masjid digemari oleh remaja. Program-program yang boleh mendekati remaja dengan masjid mesti dirangka. Jangan jadikan masjid sebagai destinasi persinggahan orang tua sebelum menemui ajal.

Masyarakat kita semakin jauh dengan Allah. Tempat yang paling mulia di atas muka bumi kurang mendapati sambutan. Masjid hanya dipenuhi pada hari jumaat dan solat sunat hari raya sahaja. Sedihnya....

Friday, February 20, 2009

Batas-batas Pergaulan



Allah telah menciptakan manusia daripada kalangan lelaki dan perempuan, berpuak dan berbilang bangsa untuk saling kenal mengenali. Namun ada yang tersilap langkah. Gagal mematuhi persoalan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Islam tidak melarang lelaki dan perempuan bergaul dan berhubung. Namun Islam telah meletakkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua manusia. Ini bukanlah bertujuan menyekat kebebasan manusia namun adalah untuk kebaikan manusia. Allah yang menciptakan manusia, maka Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk manusia.

Pelajar bergaduh sesama sendiri kerana cinta. Cemburu kerana teman lelaki ada hubungan sulit dengan pelajar perempuan lain. Si lelaki mengatakan saya tidak pernah melafazkan 'saya cintakan awak' tapi dia yang salah anggap. Ini kes biasa yang terjadi di kalangan masyarakat kita. Dimanakah salahnya? Jawapannya kerana kita tidak mengikut ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

Islam menggalakkan umatnya memberi salam antara satu sama lain. Samada dikenali ataupun tidak dikenali. Hukum memberi salam adalah sunat namun hukum menjawab salam adalah wajib. Waalubagaimanapun hukum memberi salam kepada perempuan bertukar menjadi haram apabila menimbulkan fitnah. Mungkin dengan salam boleh membawa kepada bibit-bibit percintaan yang lebih menjurus kepada nafsu. Ini bersadarkan kaedah fiqh yang berbunyi 'saddu az-zara'i iaitu menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran.

Aspek yang kedua yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah lelaki dan perempuan dilarang berdua-duaan. Ustaz, saya berbincang, study group, discuse, bukan tak boleh kot? Ini adalah alasan biasa di kalangan pelajar. Islam tidak membenarkan tindakan ini walaupun dengan tujuan dan matlamat yang baik. Kaedah fiqh berbunyi 'matlamat tidak menghalalkan cara'. Robin Hood merompak dengan niat membantu orang miskin. Tindakan Robin Hood tetap salah walaupun niat beliau baik.

Islam juga memberi garis panduan apabila lelaki dan perempuan berjalan beriringan. Lelaki hendaklah dihadapan dan perempuan dibelakang. Salah jikalau lelaki di belakang dan perempuan di depan. Ini kerana mata lelaki akan liar dan akan memerhatikan tubuh badan perempuan tersebut dari kepala hingga ke kaki. Hal ini termaktub di dalam Al-Quran. Bagaiman Allah menceritakan kisah antara nabi Musa dan anak nabi Syuib. Nabi Musa di depan dan anak nabi Syuib di belakang

Justeru marilah sama-sama kita berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah demi kebaikan kita di dunia dan akhirat

Saturday, February 14, 2009

CINTA VS CGPA



Khamis yang lepas, 12 Feb saya telah dijemput menjadi ahli panel untuk forum yang diadakan di Dewan Serbaguna Politeknik Kuching. Forum bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pada pukul 4.15 petang. Forum ini mendapat sambutan hangat di kalangan mahasiswa Jabatan Perdagangan. Pelbagai persoalan menarik daripada moderator dan mahasiswa Politeknik diutarakan kepada ahli panel.

Antara soalan kepada saya, bolehkah bercinta sebelum berkahwin?Kalau boleh, adakah ia sebagai membuka pintu kepada perzinaan. Sedangkan Allah menegah kita daripada menghampiri zina. Jikalau tidak boleh bercinta, bagaimanakah kami hendak berkahwin? Saya cuba memberi penjelasan kepada hadirin. Istilah bercinta sebelum berkahwin perlu ditukar kepada 'berkenalan' sebelum berkahwin. Ini yang lebih tepat. Rasulullah memerintahkan setiap lelaki yang hendak berkahwin hendaklah melihat perempuan yang hendak dipinang. Hukum melihat bakal tunang adalah sunat. Dalam tempoh bertunang perlu dijaga adab-adab antara seorang lelaki dan perempuan. Tidak boleh keluar berdua-duaan, berpegangan tangan dan sebagainya. Jadi tidak timbul lagi persoalan bercinta sebelum berkahwin.

Soalan kedua yang agak menarik, mengapakah 'tidak' boleh bercinta sebelum berkahwin? Sedangkan cinta akan memberi kami semangat untuk belajar. Sebelum bercinta kami malas belajar tetapi selepas kami mempunyai teman istimewa kami begitu semangat belajar. Jadi dimana salahnya bercinta semasa belajar? Saya tersenyum mendengar soalan in. Saya cuba memberi pendapat tentang persoalan ini. Mungkin betul cinta akan memberi motivasi kepada kita untuk belajar tetapi cuba bayangkan bagaimanakah keadaannya bila kamu putus cinta? Nescaya kamu kita dapat belajar. Kamu jadi kelam kabut, tidak terurus, susah hati dan sedih. Ini semua disebabkan putus cinta. Mungkin tidur tidak lena, makan tidak kenyang tapi mandi tetap basah. Saya cuba berjenaka dengan hadirin.

Selain itu antara soalan yang agak menarik adalah perlukah kami yang sudah mempunyai teman istimewa memutuskan perhubungan dengan si dia? Daripada penjelasan ustaz, macam tak boleh bercinta je? Bagaimanakah perasaan kawan istimewa saya ini? Saya bimbang dia akan menuduh saya sebagai playboy.Saya bimbang akan tertekan. Pelajar ini dalam dilema dan kebingungan. Saya sekali lagi cuba menjawab kekeliruan ini. Kamu semua tidak perlu memutuskan perhubungan dengan kawan istimewa kamu. Tapi kamu perlu memberitahu dia bahawa sekarang masa untuk kamu menumpukan kepada pelajaran dan akademik. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercinta. Insyaallah selepas tamat pengajian, kamu akan menghantar rombongan untuk meminang si dia.

Kesimpulannya bercinta merupakan fitrah dan naluri semulajadi semua manusia. Cuma yang penting bagaimanakah kita menguruskan cinta supaya kita tidak melanggar syariat dan kecewa pada kemudian hari.