Tuesday, March 3, 2009

DOA-DOA YANG MA'THUR





Minggu lepas, Kak Hazlina bertanya kepada saya tentang doa yang terdapat di dalam buku majmu' syarif. Buku ini telah lama berada di pasaran. Ramai orang Melayu menjadikan buku ini sebagai bahan utama untuk beribadat dan berdoa kepada Allah.

Keesokannya pula Kak Hamidah bertanya persoalan yang sama. Kak Hazlina dan kak Hamidah memang menggunakan buku ini untuk berdoa kepada Allah khususnya selepas solat. Buku ini juga terdapat di rumah saya di kampung. Mungkin emak saya juga menggunakan buku ini sebagai panduan untuk berdoa.

Saya pernah melihat muka depan majalah I di dalam internet. Salah satu tajuk di dalam majalah ini ialah berkaitan dengan analisis ilmiah berkaitan buku majmu' syarif. Saya cuba mencari majalah I di pasaran, namun tidak terdapat di sekitar Bandaraya Kuching.

Saya cuba membaca isi kandungan buku tersebut. Hasil penelitian saya sekali imbas, buku tersebut tidak terdapat kesalahan. Namun tiada nama penulis pula pada buku tersebut.

Namun yang menimbulkan sedikit keraguaan di hati saya ialah gelaran kepada Nabi Isa adalah Ruhullah. Setahu saya nabi Isa digelar al- Maseh. Di dalam al- Quran hanya disebut Isa Ibnu Maryam setahu saya. Saya bukanlah al- Hafiz yang mengetahui semua isi kandungan al- Quran.

Pada pagi ini, saya bersempatan bertanya kepada Ustaz Wan Zul, Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Muazdam Shah (POLIMAS), Kedah. Dahulu beliau berkhidmat di Politeknik Kuching. Apabila timbul kemusykilan agama, antara ustaz yang saya selalu rujuk adalah Ustaz Wan Zul. Beliau juga merupakan guru saya disamping sebagai sahabat. Pada pagi Ahad, saya akan meluangkan masa untuk belajar Qawaid Fiqhiyyah dengan beliau.

Menurut Ustaz Wan Zul, Nabi Isa juga digelar Ruh al - Qudus di dalam surah Al-Baqarah ayat 253. Saya tidak sempat melihat tafsir pada hari ini. Insyaallah saya akan merujuk kepada tafsir al- Munir dan ringkasan tafsir ibnu Kathir yang terdapat di perpustakaan peribadi rumah saya.

Untuk kepastian, saya bertanya juga kepada Ustaz Hassan Basri, guru di SM Teknik Sejingkat. Beliau juga merupakan kawan dan guru saya. Menurut beliau, memang Nabi Isa juga digelar ruhullah. Namun kita kena berhati-hati memahami gelaran ini kerana orang Kristian memutar belitkan gelaran ini. Mereka beranggapan Nabi Isa sebagai tuhan dan anak tuhan. Mereka berpegang kepada kepercayaan Triniti. Alhamdulillah saya mendapat jawapan yang pasti dan menyakinkan saya.

Saya menasihati dan mencadangkan kepada Kak Hazlina dan Kak Hamidah supaya membaca buku-buku karangan Ustaz Zahazan Mohammad, pensyarah UIA. Doa-doa yang beliau kumpulkan adalah daripada al- Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Doa-doa ini disebut sebagai ma'thur.

Saya juga mencadangkan Kak Hazlina dan Kak Hamidah menjadikan al- Mathurat karangan Imam Hassan Al- Banna sebagai amalan. Jikalau mempunyai kemampuan membaca kitab Arab, kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi sangat baik untuk dijadikan sebagai amalan. Kitab ini juga adalah koleksi doa-doa yang yang ma'thur daripada al- Quran dan Hadith. Saya tidak pasti samada kitab ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ataupun belum.

Moralnya, apabila terdapat kemusykilan bertanyalah kepada orang yang lebih arif dan alim daripada kita. Jangan malu belajar walaupun kita sudah besar dan mempunyai kedudukan disisi masyarakat. Yang kedua, rajinlah membuat penyelidikan dan membaca buku. Ketahuilah sesungguhnya ilmu Allah itu Maha Luas. Ketig, bersahabat dengan alim ulma. Insyaaalh kita akan mendapat keberkatan daripada ilmu meraka.




Monday, March 2, 2009

TUDUNG SINGKAT VS TUDUNG SYARIAT



Di awal 90-an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti & di politeknik malah beberapa pengacara televisyen & radio pun sudah memakai tudung. Alhamdulillah tetapi....... Tetapi yg menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.
Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang- kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup & hendak buka. Akhlak & tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat. Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan.
Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan & sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan utk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat. Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung.
Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima wanita yang memakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung. Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung.
Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yg mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka. Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yg berpurdah yang belum kelihatan berjalan- jalan di taman bunga atau di tempat tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu. Sesuatu amalan yg dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yg mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya.
Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah. Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar & apa yg ada di dalam hati mereka akan diselongkar & didedahkan oleh Allah di padang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia. Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat : " Ya Rasulullah Dgn apakah mencapai keselamatan kelak ?" Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah." Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?" Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah." Disamping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati.
Dikala itu tudung bukan menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa. Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat & peredaran zaman. Sementara yg mengamalkan syariat kerana pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan & turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya. Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dgn apa yg dilakukannya. Jesteru itu menuntut ilmu adalah perkara yg utama sebagai penyuluh ibadah. Di samping ada ilmu, amalan yg dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kita & mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.
Renung-renungkanlah wahai wanita yang berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata tetapi biarlah memakai tudung kerana syariat. Renung-renungkanlah wahai kaum Hawa.

Wednesday, February 25, 2009

AJAL DATANG TANPA DIJEMPUT


Allah Maha Berkuasa. Semua perkara di alam ini dibawah pentadbiran Allah. Planet, bintang , bulan dan matahari beredar dan berputar mengikut Sunnatullah. Semua taat dan patuh dengan perintah Allah.

Perkara ghaib juga hanya diketahui oleh Allah. Manusia tidak mengetahui bila ajal kematian kita. Dimanakah kubur yang akan menjadi tempat kediaman kita.

Pagi tadi dalam lingkungan pukul 8.30 pagi handphone saya berbunyi. Tertera di skrin handphone saya nama Ustaz Din, pensyarah Polteknik Kuching. Ust Din memulakan bicara : " Assalamualaikum syeikh. Nta kat mana? Ana kat sekolah. saya menjawab. Nta tolong bagitau kak Orwah, suami dia pengsan di Poli. Kami dah telefon ambulans, sekarang tengah tunggu ambulans la untuk bawa dia ke Hospital Umum. Tapi nta bagitau elok-elok kat kak Orwah, nanti dia yang pulak yang pengsan". Pesan ust Din.

Selepas meletak telefon, saya bergegas ke pejabat am sekolah. Saya bertanya kepada kak Saerah : " mana kak Orwah? Kak Saerah menjawab :"Kak Orwah pergi Sibu. Esok baru balik"." Yeke. Takpelah. Saya nak bagitau suami kak Orwah pengsan kat Poli".

Saya segera menelefon isteri. " Sayang kat kantin ke? Anak kak Orwah ada tak? Bagitau kat dia, ayah dia pengsan kat Poli. Ust Din telefon abang sekejap tadi". Isteri saya menjawab :" Faraha kat bilik SPBT. Yeke, jom kita jumpa dia sekarang". Saya dan isteri segera ke bilik SPBT. Saya memberitahu hal yang berlaku ke atas ayah beliau. Beliau menangis. Saya cuba menenangkan beliau. Kemudian saya meninggalkan isteri dan Fariha kerana saya ada kelas dengan 5PM/PD.

Saya mula mengajar selepas bertanya khabar semua. Tajuk pada hari ini ialah ajaran sesat. 10 minit mengajar, handphone saya berbunyi lagi. Kali ini ustaz Din memaklumkan doktor telah mengesahkan suami kak Orwah sudah meninggal dunia. INNALILLAH WAINNA ILAIHI RAAJI'UUN.

Saya segera menelefon isteri. " Sayang kat mana" " Sayang kat bilik SPBT" Isteri saya menjawab. Tiba-tiba perbualan kami terputus. Bateri handphone isteri saya habis. Saya meminta pelajar menyalin nota. Saya keluar sekejap untuk memberitahu tentang kematian suami kak Orwah kepada isteri.

Selepas memberitahu, isteri saya bersama-sama Juahir pergi ke Hospital Umum untuk mengambil Fariha. Kemudian mereka bersama-sama pergi ke Politeknik untuk menziarahi jenazah. Saya pula masuk kembali ke dalam kelas untuk menyambung pengajaran.

Sahabat-sahabatku, sedarlah bahawa kematian amat dekat dengan kita. Bila-bila saja kita akan dijemput oleh Allah. Sudahkah kita bersedia untuk berjumpa dengan Allah. Bagaimnakah dengan amalan ibadat kita. Solat kita bagaimana? Hubungan kita dengan Allah macam mana? Hisablah sebelum kita dihisab oleh Allah

Tuesday, February 24, 2009

Nikmat Iman dan Islam


Kita bertuah kerana kita dilahirkan sebagai muslim. Mak dan ayah kita seorang muslim. Jadi kita mewarisi keislaman ayah dan mak kita. Kadang-kadang kita kurang menghargai nikmat iman dan Islam kerana kita mendapat kedua-duanya dengan mudah. Kita menjadi muslim baka tetapi dari segi penghayatan dan pengamalan kita jauh daripada ajaran Islam. Akidah kita lemah, ibadat kita pinggirkan dan akhlak kita tidak melambangkan sebagai muslim dan muslimah sejati.
Sedangkan sahabat-sahabat dahulu bersusah payah untuk mendapat hidayah. Mereka merantau jauh untuk mendapat ilmu dan hidayah. Hidayah perlu dicari. Kita mesti membanyak doa kepada Allah.
Semalam 23 Februari, ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim, YB Zulkifli Nordin mengatakan kerisauan kerana di Wilayah Persekutuan tiada peruntukan undang-undang untuk menyekat umat Islam daripada murtad. Ajaran dan dakyah agama lain juga boleh disebarkan di kalangan umat Islam di Wilayah Persekutuan. Ini sesuatu yang amat membimbangkan di saat umat Islam begitu lemah dari segi pegangan agama.
Kita melihat kembali kes Lina Joy yang sanggup murtad dengan menjual iman dengan begitu murah hanya semata-mata cintakan kekasih berbangsa India yang beragama Kristian. Aduhai lemahnya iman Lina Joy. Kalau dulu ustaz-ustaz selalu menyebut : " Iman umat Islam senipis kulit bawang" tapi ungkapan ini perlu ditukar kepada : " Iman umat Islam senipis bulu dada lelaki".
Saya amat bimbang dengan situasi ini. Pelajar kita di sekolah begitu lemah pengetahuan agama. Penghayatan lagi-lagi menyedihkan...






Monday, February 23, 2009

AMALAN MEMBACA BUKU


Alhamdulillah sebulan yang lepas, saya dapat menghabiskan membaca buku Anakku Hebat Anakku Soleh karangan Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Buku ini begitu baik untuk setiap ibu bapa. Untuk mendidik anak memerlukan kepada ilmu dan kemahiran. Buku ini adalah hasil olahan dan ringkasan dari buku tarbiyyatul aulad karangan Syeikh Nasih Ulwan.
Kawan mengusik saya :' Ustaz tak sabar nak dapat anak ke?. Awal-awal dah baca buku ini.' Itu situasi biasa di sekolah saya. Namun itu tidak akan mematahkan semangat saya untuk menghabiskan semua bab di dalam buku ini.
Jadikanlah buku sebagai teman hidup kita. Dalam sebulan berapa buah bukukah kita telah baca dan khatam. Mengapa kita boleh menghabiskan berjam-jam di hadapan tv atau mendengar radio tetapi kita begitu sukar menghabiskan masa lapang untuk membaca buku. Sedangkan dengan membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Pelajar-pelajarku, jadilah anda sekalian sebagai penggemar buku. Buku sentiasa di tangan anda bukan handfhone. Anda boleh berbalas sms, menghabiskan duit untuk membeli prepaid tetapi anda begitu kedekut unutuk membeli buku dan majalah ilmiah.
Kita malas membaca buku. Untuk menulis buku mungkin hanya satu mimpi dan angan-angan sahaja untuk kita. Contohilah ulama-ulama silam yang banyak menulis buku. Hasil karangan mereka sangat berguna kepada kita. Inilah yang dinamakan sebagai ilmu yang bermanfaat.
Untuk peringkat permulaan, kita jadikan membaca buku sebagai hobi. Sediakan sedikit ruang di rumah kita sudut untuk buku. Jadikan ia sebagai perpustakaan peribadi.
Renungkanlah sesungguhnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah adalah berkaitan dengan amalan membaca. Bukan hanya membaca sahaja tetapi diikuti dengan budaya penyelidikan. Selepas itu kita akan berupaya dan mampu menghasilkan buku. Inilah saham akhirat kita selepas kita meninggal dunia. Walaupun kita telah meninggal dunia tetapi pahala masih lagi sampai kepada kita.
Ayuh kita semua jadilah umat Islam yang hebat.

Masjid Institusi Pendidikan




Alhamdulillah pagi sabtu lepas, 21hb saya memulakan kuliah subuh yang pertama di Masjid Al-Muhajirin, Taman Matang Jaya. Kuliah ini adalah kuliah mingguan. Saya menggunakan kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman karangan Syeikhul Islam Imam Habib Abdullah Al-Haddad. Saya menerangkan tentang kepentingan taqwa kepada individu muslim.

Masjid merupakan institusi ilmu. Namun sedihnya, majlis-majlis ilmu hanya dihadiri oleh jemaah yang sudah pencen ataupun hampir pencen. Kuliah subuh pagi ahad di Masjid ikhwanul Islam, Taman Sukma pun mengalami nasib yang sama. Mungkin kita beranggapan remaja tidur lewat. Jadi mereka lewat bangun. Jadi tidak sempat mengikuti kuliah subuh. Namun kuliah maghrib pun sama. Kuliah maghrib di surau Al- Firdaus hanya dihadiri oleh pak cik dan makcik sahaja.

Golongan muda mudi tidak berminat untuk pergi ke masjid. Mereka berkata: 'kamek suka pergi the spring, shopping compleks. Masjid sik best'.

Kita kena ambil sesuatu tindakan supaya masjid digemari oleh remaja. Program-program yang boleh mendekati remaja dengan masjid mesti dirangka. Jangan jadikan masjid sebagai destinasi persinggahan orang tua sebelum menemui ajal.

Masyarakat kita semakin jauh dengan Allah. Tempat yang paling mulia di atas muka bumi kurang mendapati sambutan. Masjid hanya dipenuhi pada hari jumaat dan solat sunat hari raya sahaja. Sedihnya....

Friday, February 20, 2009

Batas-batas Pergaulan



Allah telah menciptakan manusia daripada kalangan lelaki dan perempuan, berpuak dan berbilang bangsa untuk saling kenal mengenali. Namun ada yang tersilap langkah. Gagal mematuhi persoalan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Islam tidak melarang lelaki dan perempuan bergaul dan berhubung. Namun Islam telah meletakkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua manusia. Ini bukanlah bertujuan menyekat kebebasan manusia namun adalah untuk kebaikan manusia. Allah yang menciptakan manusia, maka Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk manusia.

Pelajar bergaduh sesama sendiri kerana cinta. Cemburu kerana teman lelaki ada hubungan sulit dengan pelajar perempuan lain. Si lelaki mengatakan saya tidak pernah melafazkan 'saya cintakan awak' tapi dia yang salah anggap. Ini kes biasa yang terjadi di kalangan masyarakat kita. Dimanakah salahnya? Jawapannya kerana kita tidak mengikut ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

Islam menggalakkan umatnya memberi salam antara satu sama lain. Samada dikenali ataupun tidak dikenali. Hukum memberi salam adalah sunat namun hukum menjawab salam adalah wajib. Waalubagaimanapun hukum memberi salam kepada perempuan bertukar menjadi haram apabila menimbulkan fitnah. Mungkin dengan salam boleh membawa kepada bibit-bibit percintaan yang lebih menjurus kepada nafsu. Ini bersadarkan kaedah fiqh yang berbunyi 'saddu az-zara'i iaitu menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran.

Aspek yang kedua yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah lelaki dan perempuan dilarang berdua-duaan. Ustaz, saya berbincang, study group, discuse, bukan tak boleh kot? Ini adalah alasan biasa di kalangan pelajar. Islam tidak membenarkan tindakan ini walaupun dengan tujuan dan matlamat yang baik. Kaedah fiqh berbunyi 'matlamat tidak menghalalkan cara'. Robin Hood merompak dengan niat membantu orang miskin. Tindakan Robin Hood tetap salah walaupun niat beliau baik.

Islam juga memberi garis panduan apabila lelaki dan perempuan berjalan beriringan. Lelaki hendaklah dihadapan dan perempuan dibelakang. Salah jikalau lelaki di belakang dan perempuan di depan. Ini kerana mata lelaki akan liar dan akan memerhatikan tubuh badan perempuan tersebut dari kepala hingga ke kaki. Hal ini termaktub di dalam Al-Quran. Bagaiman Allah menceritakan kisah antara nabi Musa dan anak nabi Syuib. Nabi Musa di depan dan anak nabi Syuib di belakang

Justeru marilah sama-sama kita berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah demi kebaikan kita di dunia dan akhirat